Pengalaman cukup manis dilantik sebagai duta Skechers di penghujung karier – Khyril Muhymeen

67

Pemain pasukan Bunga Raya Damansara FC (BRDFC), Khyril Muhymeen gembira dan teruja apabila beliau dilantik sebagai duta untuk jenama antarabangsa Skechers.

Menurut Khyril, apa yang lebih manis lagi apabila rezeki itu tiba ketika beliau berada di penghujung karier bola sepaknya.


“Satu benda yang baik dengan faktor umur dan dapat berkongsi dengan pemain muda yang mana ia satu pengalaman yang cukup manis di saat saya berada di penghujung karier sekali lagi dapat berkongsi perubahan bola sepak.

Skechers juga membuat satu perubahan besar yang mana saya rasa mereka mengeluarkan satu boot yang sesuai di era moden,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Khyril juga berkata beliau bersetuju untuk bersama jenama itu kerana kasut bola itu bukan sahaja lembut tetapi cukup selesa sekaligus sesuai dengan kehendaknya sebagai pemain penyerang.

Khyril yang kini beraksi di dalam saingan liga semi-profesional Liga A1 merupakan bekas penyerang kebangsaan Harimau Malaya dan merupakan penggempur digeruni dalam saingan Liga Perdana dan Liga Super suatu ketika dahulu.

Sementara itu, selain Khyril beberapa pemain lain turut dilantik menjadi duta jenama itu dalam satu majlis pelancaran koleksi kasut bola sepak Skechers yang berlangsung di Football Republic Pavilion Elite, Kuala Lumpur baru-baru ini.