JDT III punya kelebihan dari segi pengalaman tapi kita akan beri tentangan sengit esok – Firdaus Aziz
Ketua jurulatih Selangor FC B-20, Firdaus Aziz mengakui bahawa pasukan lawan mempunyai kelebihan dari segi pengalaman tetapi beliau menegaskan bahawa pemain-pemainnya akan memberikan tentangan yang cukup sengit esok.
Menurut Firdaus, biarpun pasukan yang dikendalikannya ini adalah pasukan yang baru tetapi pasukan telah memperlihatkan peningkatan yang cukup konsisten sehingga mereka berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Presiden 2024.
“Rata-rata pemain yang saya dapat pada tahun ini adalah baru jadi pada permulaan saingan mungkin agak perlahan tapi persembahan pasukan semakin lama semakin baik dan Alhamdulillah sampai ke peringkat akhir.
Kita tahu pasukan lawan mempunyai kelebihan dari segi pengalaman tapi insyaAllah dengan izin Allah kita akan bagi tentangan yang baik,”
katanya.
Firdaus berkata demikian ketika sidang media perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2024 yang akan menyaksikan Selangor akan turun melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim III (JDT) esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dalam pada itu, Firdaus berkata biarpun JDT III merupakan pasukan pilihan untuk aksi akhir esok berikutan mereka adalah juara bertahan tetapi beliau berkata mereka tidak akan memberi laluan mudah buat pasukan lawan kerana mereka mahu keputusan positif di tempat sendiri.
Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa pemain-pemainnya cergas untuk turun beraksi dan hanya dua pemain sahaja yang mengalami demam.
Sementara itu, ketua pasukan Danish Irfan Ezal berkata beliau dan rakan sepasukannya sudah pun bersedia sedia untuk aksi esok dan akan fokus sepenuhnya kepada permainan mereka sendiri dan tidak merasakan kelebihan pengalaman pemain lawan akan menjadi masalah buat mereka.
“Dari segi pengalaman itu bagi saya tak ada perbezaan sangat kerana apa yang penting adalah siapa yang lebih bekerja keras di atas padang dia akan dapat ganjaran.”
Perlawanan akhir pertama Piala Presiden akan berlangsung esok di Stadium MBPJ dan perlawanan akhir kedua akan berlangsung pada 13 November ini di Johor.