Pancit di 2 lubang terakhir buat Afif Fathi terpaksa gigit jari
Pemain golf profesional negara, Afif Fathi hampir merangkul kejuaraan profesional pertamanya namun terpaksa akur apabila kepenatan di dua lubang terpaksa membuatnya terlepas kejuaraan Yaris Cup 2024.
Afif terpaksa berpuas hati selepas mencatatkan skor par 72 di hari terakhir untuk mengumpul 208 pukulan dengan lima pukulan di bawah par untuk berada di kedudukan kedua pada kejohanan yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club.
“Saya berasa kecewa bagaimana saya habiskan permainan hari ini. Ia merupakan minggu yang cukup panjang buat saya apabila bermain dari pagi hingga ke lewat petang.
Lubang 17 memang lubang yang susah bagi saya dan hari pula saya penat dan pukulan saya juga tersasar dan selepas hujan lebat sambung semula permainan saya tersasar ketika melakukan putt kerana ‘green’ berat dek hujan dan Danny pula berjaya mendapatkan birdie.
Saya sepatutnya lebih bersabar untuk dapatkan birdie tapi tidak bernasib baik,”
katanya.
Afif mempamerkan permainan yang cukup baik sepanjang kejohanan kali ini biarpun terpaksa bermain dalam keadaan tidak sihat sejak hari pertama.
Dalam pada itu, Afif berkata beliau tetap berjuang sehingga ke lubang terakhir biarpun sudah kepenatan namun terpaksa akur apabila pemain veteran Danny Chia terus konsisten sekaligus berjaya menang.
“Saya masih berjuang di lubang terakhir tapi badan sudah tak larat. Danny seorang pemain veteran jadi beliau tahu macam mana nak main tapi saya sudah cuba untuk dapatkan kemenangan pertama saya tapi gagal lagi.”
Beliau bagaimanapun secara keseluruhan berpuas hati dengan permainannya sepanjang kejohanan kali ini yang mana beliau sudah pamerkan permainan terbaiknya.
Sementara itu, Afif berkata beliau akan berehat untuk beberapa hari untuk meluangkan masa bersama rakan sebelum kembali turun berlatih untuk persiapan bagi menghadapi Toyota Tour Championship (ADT) yang akan berlangsung di Kota Permai Golf and Country Club pada 20 hingga 23 November ini.