Qayyim Razin suarakan keyakinan beliau untuk dapat podium di FIM MiniGP di Sepanyol

32

Pelumba cilik Malaysia, Qayyim Razin menyuarakan keyakinan beliau untuk mendapat keputusan positif iaitu podium pada kejohanan FIM MiniGP World Series yang akan berlangsung di Aragon, Sepanyol dari 12 hingga 14 November ini.

Qayyim merupakan pelumba dalam kategori 160cc sebelum ini kecewa apabila tidak berjaya mengejar kedudukan kedua keseluruhan selepas motosikalnya rosak, namun di Sepanyol nanti beliau akan turun beraksi dalam kategori 190cc.


“Saya akan cuba buat sehabis baik untuk kategori 190cc nanti. Kelebihan saya pada kategori 190cc sebab lebih selesa dan motosikal sesuai dengan cara tunggangan saya kerana 190cc mempunyai lebih kuasa dan lebih besar, jadi saya banyak ‘improved’,”

katanya.

Ini merupakan penampilan pertamanya di World Series dan Qayyim mengakui berasa sedikit gemuruh namun beliau sudah buat persiapan yang cukup rapi untuk mengharungi kejohanan itu.

Berdasarkan latihan persiapan yang dilakukan, Qayim meletak sasaran untuk cuba merebut kedudukan podium.

“Sasaran saya sudah semestinya mahu podium atau sekurang-kurangnya berada di kedudukan Top 5.”

Qayyim berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama tiga lagi pelumba negara yang berangkat ke Aragon, Sepanyol.

Dalam pada itu, Qayyim menyedari cabaran besar yang bakal diharunginya di sana kelak kerana kejohanan itu menampilkan ramai pelumba hebat dari serata dunia.

Beliau bagaimanapun akan mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkan soal pelumba lawan sebaliknya hanya mahu fokus pada dirinya sahaja untuk memastikan beliau dapat memberikan yang terbaik.