Biarpun ini penampilan pertama di World Series, saya mahu banggakan Malaysia – Adam Danial

77

Pelumba cilik Malaysia, Adam Danial meletak sasaran untuk berada di kedudukan podium pada kejohanan FIM MiniGP World Series yang akan berlangsung di Aragon, Sepanyol dari 12 hingga 14 November ini.

Menurut Adam, biarpun ini adalah penampilan sulung beliau di World Series namun beliau cukup bersemangat kerana mahu banggakan negara di pentas antarabangsa.


“Ya ini penampilan pertama saya dan sasaran saya adalah podium untuk banggakan rakyat Malaysia dan juga kedua ibu bapa saya,”

katanya.

Adam akan turun beraksi dalam kategori 190cc yang mana dalam kategori tersebut turut menampilkan dua lagi pelumba negara iaitu Qayyim Razin dan Farish Hafiy.

Dalam pada itu, Adam turut memberitahu bahawa beliau sudah bersedia untuk turun berentap di litar kerana sudah buat persiapan yang cukup rapi.

Biarpun sedar cabaran sengit akan diberikan oleh pelumba-pelumba lain tetapi Adam tetap yakin dengan kemampuannya untuk berada dalam kelompok teratas nanti.

“Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk berlumba di Sepanyol. Saya tahu pelumba-pelumba dari negara itu cukup laju untuk saya hadap tapi saya sudah bersedia untuk beri saingan sengit kepada mereka.”

Adam berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama tiga lagi pelumba negara yang berangkat ke Aragon, Sepanyol.