Saya tahu mereka main kasar, jadi saya juga akan main kasar nanti tapi dalam masa sama tidak boleh membahayakan pelumba lain – Airel Marzuki

105

Pelumba cilik negara, Airel Marzuki memberitahu beliau akan memberikan aksi terbaiknya pada kejohanan FIM MiniGP World Series yang akan berlangsung di Aragon, Sepanyol dari 12 hingga 14 November ini.

Menurut Airel, beliau sudah belajar dari kejohanan lalu apabila beliau terlibat dalam insiden berpunca daripada pelumba lain, jadi untuk kejohanan ini beliau sudah bersedia untuk mempamerkan tunggangan yang lebih agresif.


“Saya belajar dari kejohanan lalu yang mana mereka main kasar, jadi saya juga akan main kasar tapi dalam masa sama tidak boleh membahayakan pelumba lain,”

katanya.

Airel berkata sasarannya untuk kejohanan World Series kali ini adalah untuk cuba berada dalam kelompok tiga terbaik yang mana beliau yakin mampu melakukannya.

Dalam pada itu, Airel juga tidak dapat memberi bayangan cabaran yang akan dihadapinya di sana nanti kerana barisan pelumba kali ini adalah pelumba yang berbeza.

“Tahun ini ramai pelumba baru dan pelumba lama sudah naik cc jadi sampai di sana nanti baru saya akan lihat macam mana.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama tiga lagi pelumba negara yang berangkat ke Aragon, Sepanyol.

Selain Airel, tiga lagi pelumba negara yang turut bersama adalah Qayyim Razin, Adam Danial dan Farish Hafiy.

Sementara itu, Airel juga berkata beliau berada cukup selesa dengan jenteranya ketika ini dan yakin mampu mendapat keputusan yang baik nanti.