Farish Hafiy mahu tebus kekecewaan ATC di MiniGP World Series

23

Pelumba negara, Farish Hafiy bertekad mahu tebus kekecewaannya di kejohanan Asia Talent Cup 2024 (ATC) pada kejohanan FIM MiniGP World Series yang akan berlangsung di Aragon, Sepanyol pada 12 hingga 14 November ini.

“Pada perlumbaan terakhir ATC tahun ini saya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hampir ketiga yang mana saya ‘fight’ dengan pelumba Jepun di garisan penamat jadi saya agak kecewa dan geram sebab saya tak dapat berikan yang terbaik di halaman sendiri.

Kini saya perlu fokus untuk MiniGP pula dan mungkin geram saya dari ATC itu ada juga jadi saya mahu lebih fokus dan bawa lebih laju di Sepanyol nanti,”

katanya.

Menurut Farish lagi, beliau juga meletak sasaran untuk memperbaiki kedudukannya pada tahun lalu yang mana beliau menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan.


“Saya akan bagi sehabis baik saya kerana mahu bagi ‘result’ yang lebih baik dari tahun lalu yang mana saya dapat tempat kelima keseluruhan jadi untuk tahun ini sudah pastinya saya mahu lebih baik jadi saya perlu lebih fokus.”

Dalam pada itu, Farish berkata beliau juga membuat persediaan rapi dan juga telah memperbaiki kelemahannya sebelum ini.

“Kelemahan saya yang saya sudah perbaiki adalah saya cuba untuk lebih laju di selekoh dan throttle lebih awal dan memperbaiki ‘braking’.”

Farish yang berlumba dalam kategori 190cc akan turut bersaing dengan dua lagi pelumba negara iaitu Qyyim Razim dan Adam Danial.

Seorang lagi pelumba negara yang turut menyertai kejohanan ini adalah Airel Marzuki yang akan berlumba dalam kategori 160cc.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama tiga lagi pelumba negara yang berangkat ke Aragon, Sepanyol.