Rakan Muda sekarang adalah untuk belia dari usia 15 hingga 30 tahun – Hannah Yeoh
Sejak dilancarkan pada tahun 1994 program Rakan Muda telah mewujudkan pelbagai program-program di peringkat sekolah namun dengan peredaran zaman program tersebut juga telah melalui pelbagai fasa sepanjang tempoh 30 tahun.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, program Rakan Muda kini tidak hanya memberi fokus kepada belia di peringkat sekolah sahaja sebaliknya ia telah diperluaskan kepada beliau berusia dari 15 tahun hingga 30 tahun termasuk golongan ibu bapa muda.
“Rakan Muda telah mempunyai pelbagai fasa sejak ia dilancarkan pada tahun 1994 yang mana pada masa itu banyak program diwujudkan di peringkat sekolah.
Tetapi sekarang Rakan Muda adalah untuk golongan 15 hingga 30 tahun bermaksud Rakan Muda juga mempunyai golongan ibu bapa muda.
Jadi pelbagai program kita kena wujudkan sesuai dengan usia mereka dan hasrat kita adalah pengisian masa lapang yang berfaedah,”
katanya ketika selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (MPE ARPRM) 2024 yang berlangsung di The Royale Chulan, Damansara.
Oleh itu, Hannah berkata untuk belia berusia 15 tahun mereka akan mewujudkan program mencungkil bakat sukan, manakala untuk belia berusia 30 lebih kepada program khusus keibubapaan.
Tambahnya lagi, Rakan Muda akan mewujudkan pelbagai program-program supaya golongan belia dan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.
Dalam pada itu, Hannah turut mengucapkan tahniah kepada 90 individu yang menerima pentauliahan di Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (MPE ARPRM) 2024.
“Tahniah kepada 90 pemuda yang menerima pentauliahan dan Rakan Muda merupakan satu platform untuk belia menggunakan masa lapang mereka dengan pengisian program-program berfaedah.
Tahun 2024 kita telah terima bajet RM20 juta untuk program Rakan Muda dan tahun 2025 kita telah menerima peningkatan RM25 juta keseluruhan, jadi dengan adanya RM25 juta untuk program Rakan Muda pada tahun 2025 kita akan mewujudkan lebih banyak lagi platform bersifat pertandingan nasional kerana kita mahu beri mereka banyak platform pertandingan supaya mereka boleh menunjukkan bakat mereka.”
Oleh itu, beliau menyarankan kepada golongan beliau yang ingin mengambil bahagian dalam program Rakan Muda mereka boleh mengikuti media sosial JBSN atau pun KBS serta hubungan Jabatan Belia dan Sukan di negeri masing-masing kerana setiap negeri menawarkan program-program yang berlainan.
Sementara itu, pada hujung minggu lalu telah berlangsung Fiesta Rakan Muda yang mana ia adalah program bermula dari pagi hingga ke tengah malam yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pentas.
Acara yang berlangsung di The Curve, Damansara itu mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada orang ramai yang mana ia menawarkan 50 aktiviti dari 10 Gaya Hidup.
Pengunjung tidak hanya berpeluang mengambil bahagian dalam 50 aktiviti yang ditawarkan tetapi mereka juga disajikan dengan persembahan Konsert Ke-30 Rakan Muda yang mana ia menampilkan barisan penyanyi terkemuka tanah air seperti Ella, Lan Solo, Zubir Khan, Radhi OAG dan ramai lagi.