Aksi menentang Laos dan India bantu kita buat persiapan untuk dua kejohanan berbeza – Pau Marti
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Pau Marti memberitahu bahawa dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 iaitu bertemu Laos dan India adalah sebahagian daripada persiapan pasukan untuk dua kejohanan akan datang.
Menurut Pau Marti, skuad Harimau Malaya mempunyai dua kejohanan penting iaitu Piala AFF 2024 dan juga pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2025.
“Saya rasa ia adalah peluang terbaik buat kita bermain di luar dan mengharungi dua perlawanan yang berbeza dan akan menggunakan ‘approach’ berbeza di mana perlawanan menentang Laos seperti kita buat persiapan untuk kejohanan Piala AFF.
Manakala perlawanan menentang India pula adalah persiapan untuk mengharungi kelayakan Piala Asia pada tahun depan. Jadi kita perlu pasukan hebat di tempat lawan untuk kelayakan jadi untuk ada satu perlawanan menentang India adalah tepat untuk persiapan kita,”
katanya.
Skuad negara akan bermain kedua-dua perlawanan di tempat alwan iaitu menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok, Thailand pada Khamis, 14 November 2024 dan menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India pada Isnin, 18 November 2024.
Untuk kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini, pengendali dari Sepanyol itu telah mengekalkan seramai 20 daripada 26 pemain dari skuad yang dibawa ke Auckland, New Zealand pada Oktober lalu.
Beliau turut memanggil enam pemain baharu tetapi terpaksa menggugurkan dua pemain iaitu Mukhairi Ajmal (Selangor FC) dan Natxo Insa (JDT) selepas kedua-dua pemain itu disahkan mengalami kecederaan.
Susulan itu, dua pemain yang berada dalam senarai bersedia iaitu Zhafri Yahya dan Fazrul Amir telah dipanggil untuk menggantikan dua pemain yang terpaksa diketepikan.
Dalam pada itu, Pau Marti juga memberitahu bahawa beliau meminta pemain-pemainnya untuk tidak melupakan perlawanan persahabatan menentang New Zealand sebelum ini kerana banyak pengajaran yang boleh diambil selain untuk memperbaiki kelemahan.
“Ya kami (barisan kejurulatihan) sudah bercakap dengan semua pemain yang kita tidak boleh lupakan perlawanan dengan New Zealand jadi saya tidak setuju jika mengatakan kita perlu lupakan perlawanan selepas tamat sebaliknya perlu terus ingat untuk ‘improvement’ kita.
Bagi saya perlawanan tersebut cukup berkualiti kerana kita bermain dengan pasukan yang hebat yang mana kita sudah buat yang terbaik dan pada masa sama pastinya kita perlu perbaiki beberapa faktor, oleh sebab itu kita perlu jadikan perlawanan ini sebagai rujukan.”
Sementara itu, Pau Marti turut menekankan bahawa beliau belum lagi memikirkan soal barisan pemain untuk ke kejohanan Piala AFF 2024 yang akan membuka tirainya pada bulan hadapan sebaliknya mahu fokus kepada dua aksi persahabatan antarabangsa terlebih dahulu.