Arif Aiman & Tommy Mawat mungkin dikenakan hukuman tambahan
Perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak FC telah menjadi perhatian ramai selepas berlaku insiden perbalahan antara Arif Aiman dan Tommy Mawat semalam yang menyaksikan kedua-dua pemain itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.
Susulan layangan kad kuning, ramai yang mempersoalkan keputusan yang dilakukan oleh pengadil yang mana ramai yang merasakan insiden tersebut sepatutnya dilayangkan kad merah.
Tidak hanya mendapat perhatian peminat bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengambil maklum mengenai insiden itu dan telah mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Dalam kenyataan media tersebut, S. Sivasundaram memberitahu bahawa kedua-dua pemain itu tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut.
“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut menasihati para pemain supaya mengawal emosi ketika berada di atas padang kerana sebarang tindakan akan membawa masalh kepada diri mereka sendiri sekiranya dikenakan hukuman atau tindakan.
Tambah Sivasundaram lagi, beliau yang melihat secara sendiri insiden itu mengakui ia adalah perkara serius kerana berlakunya tindakan menumbuk dan mencekik oleh kedua-dua pemain.
“Apa pun kita akan tunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil bagi mengambil tindakan lanjut.”