Stuart Wilkin mahu jaringkan lebih banyak gol untuk Harimau Malaya
Pemain tengah sensasi pasukan kebangsaan Harimau Malaya, Stuart Wilkin memberitahu bahawa beliau kini berada pada tahap terbaik oleh itu beliau mahu menjaringkan lebih banyak gol dan buat bantuan gol untuk skuad negara.
“Ya saya rasa berada dalam keadaan terbaik kerana awal musim lalu sukar untuk saya kerana mengalami kecederaan yang tidak pernah saya alami sebelum ini dan sudah pastinya dengan kembalinya saya harap dapat menyumbang kepada pasukan terutamanya untuk skuad negara.
Saya ingin tambah lagi gol dan bantuan gol untuk skuad negara dan ini adalah beberapa perkara yang saya fikirkan untuk perlawanan menentang Laos dan India,”
katanya.
Tambahnya Stuart lagi, beliau juga mahu menggunakan kelebihannya terutamanya menjaringkan gol dari sepakan jarak jauh.
Dalam pada itu, Stuart berkata ketiadaan Natxo Insa sememangnya dirasai tetapi kehadiran Zhafri Yahya sebagai pengganti mampu memberi impak kepada pasukan.
“Ketiadaan Natxo akan dirindui kerana beliau seorang pemain yang berkualiti tapi Zhafri masuk menggantikan beliau juga seorang pemain yang bagus biarpun posisi yang sedikit berbeza namun seorang pemain yang mampu memberi sumbangan buat pasukan.”
Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos pada Khamis, 14 November, skuad Harimau Malaya akan terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk perlawanan menentang India pada Isnin, 18 November 2024.
Dalam pada itu, Stuart pada masa sama turut memberitahu bahawa mereka banyak belajar dari perlawanan persahabatan sebelum ini menentang New Zealand yang menyaksikan skuad negara tewas 4-0.
“Bagi saya ia perlawanan di tempat lawan yang sukar kerana menentang sebuah pasukan yang cukup berkualiti dan saya berpandangan kedudukan ranking tidak mencerminkan bagaimana bagusnya sesebuah pasukan jadi banyak yang kami belajar yang mana kami menonton semula video analisis untuk perbaiki kelemahan sebelum dua aksi akan datang ini.”
Sementara itu, Stuart turut mengakui perlawanan menentang Laos dan India adalah berbeza dan sukar, jadi mereka perlu fokus dalam setiap perlawanan untuk cuba membawa pulang keputusan positif.