Sergio Aguero harap dapat berada dalam skuad Harimau Malaya untuk ASEAN Championship
Pemain pasukan Harimau Malaya, Sergio Aguero akan mempamerkan prestasi terbaiknya bersama skuad negara dengan harapan beliau akan terus mendapat kepercayaan ketua jurulatih Pau Marti untuk berada dalam skuad untuk ke ASEAN Championship 2024 (Piala AFF) pada bulan hadapan.
“Ya saya sentiasa berharap dapat berada dalam skuad negara, jadi saya akan buat yang terbaik untuk skuad negara dalam aksi persahabatan supaya dapat terus dikekalkan dalam skuad untuk ke ASEAN Championship.
Ini kerana pada tahun lepas saya mendapat peluang bermain di kejohanan itu dan sangat berasa sangat gembira,”
katanya.
Aguero berkata demikian selepas beliau kembali mendapat panggilan untuk menyarung jersi Harimau Malaya setelah sekian lama bagi mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India.
“Sukar untuk saya apabila tidak dipanggil untuk tugasan negara sebelum ini tapi saya faham kerana kita mempunyai ramai pemain bagus tapi saya sentiasa buat yang terbaik ketika bersama pasukan saya Sri Pahang FC jadi saya sangat gembira apabila kembali dipanggil.”
Dalam pada itu, Aguero juga memberitahu beliau menyerahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk menentukan posisi kerana beliau tiada masalah untuk bermain di beberapa posisi.
“Saya rasa Pau Marti lebih cenderung untuk meletakkan saya bermain di posisi tengah tapi kita tunggu sahaja nanti macam mana kerana saya masih lagi baru dengan beliau kerana saya baru dua hari menjalani latihan dengan beliau dan masih mempunyai baki sesi latihan untuk beliau tentukan.
Tapi jika melihat dari sesi latihan, beliau lebih gemar letak saya bermain di posisi tengah.”
Beliau pada masa sama meletak sasaran untuk skuad negara memenangi dalam kedua-dua perlawanan itu nanti.
Sementara itu, skuad negara akan berlepas ke Bangkok pada hari Selesa (hari ini) untuk aksi bertemu Laos pada Khamis, 14 November, sebelum akan terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk perlawanan menentang India pada Isnin, 18 November 2024.