Kami sudah bersedia untuk Liga Super musim ini – Kevin Ray Mendoza
Penjaga gol utama KL City FC, Kevin Ray Mendoza memberitahu beliau dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan juga Piala AFC musim ini.
“Tinggal sedikit sahaja lagi untuk kami perbaiki dan selepas itu kami akan bersedia untuk musim ini.
Untuk saingan Piala AFC pula kita kena lihat terlebih dahulu macam mana sama ada kita mampu lepasi peringkat kumpulan atau tidak. Saya harap yang terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kevin pada masa sama turut mengakui skuad KL mempunyai barisan pemain yang cukup bagus.
Dalam pada itu, KL semalam tumpas di tangan Negeri Sembilan FC 0-2 dalam perlawanan Piala Menteri Wilayah.
“Kami bekerja keras dan mempunyai banyak peluang tetapi kami gagal berjaya menjaringkan gol. Secara keseluruhan saya rasa kami bermain dengan baik, cuma nasib tidak menyebelahi kami sahaja.”
Tambahnya lagi semalam beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.
Sementara itu, Kevin berkata kemasukan penjaga gol muda Azri Ghani mampu memberinya saingan sihat untuk merebut tempat sebagai penjaga gol utama KL.