Jika terus bermasalah tidak mustahil Liga Malaysia berpotensi ikut jejak langkah Singapore Premier League

192

Bola sepak merupakan sukan paling popular di dunia dan rantau Asia Tenggara tidak terkecuali termasuk Malaysia yang mana sukan nombor satu di negara ini adalah bola sepak.

Disebalik populariti sukan bola sepak di negara ini, bola sepak di negara ini iaitu Liga Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan terumbang-ambing ketika ini apabila pelbagai masalah yang berlaku saban tahun dengan masalah utama majoriti pasukan yang bersaing adalah masalah kewangan.


Jika sebelum ini negara mempunyai beberapa liga utama, namun kini kita hanya mempunyai satu sahaja liga profesional iaitu Liga Super berbanding sebelum ini yang mana kita turut mempunyai liga divisyen dua yang dikenali sebagai Liga Perdana.

Pada tahun 2023, pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) telah melakukan penstrukturan liga dengan memansuhkan saingan Liga Perdana dengan sasaran mahu menjadikan saingan Liga Super menjadi lebih kompetitif dengan pertambahan pasukan dari 12 pasukan kepada 18 pasukan.

Bagaimanapun harapan untuk melihat Liga Super mempunyai 18 pasukan berkecai apabila ada pasukan yang menarik diri dan beberapa kelab tidak diberikan Lesen Kebangsaan kerana mengalami masalah tunggakan gaji menyaksikan hanya 14 pasukan sahaja yang bersaing.

Tidak hanya saingan liga terpaksa berjalan dengan 14 pasukan sahaja, tetapi sepanjang liga berjalan pelbagai masalah dan kontroversi lain timbul dan masalah tunggakan gaji merupakan masalah utama yang kini dilihat seperti ‘kanser’ dalam bola sepak tanah air.

Untuk saingan Liga Super musim 2024/25, jumlah pasukan yang bertanding semakin berkurang apabila hanya 13 pasukan sahaja yang berjaya mendapat Lesen Kebangsaan untuk bersaing pada musim ini dan sekali lagi walaupun belum masuk pusingan kedua beberapa kelab dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji.

Masalah tunggakan gaji ini tidak hanya berlaku di Liga Super, ia turut merebak di liga semi-profesional Liga M3 atau kini dikenali sebagai Liga A1.

‘Bagai getah dibawa ke semak’, itulah perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan situasi semasa bola sepak di tanah air ketika ini biarpun ada pasukan di Liga Super yang cemerlang di pentas Asia iaitu JDT di AFC Champions League Elite (ACL Elite) dan Selangor FC di AFC Champions League Two (ACL2).

Jika pihak bertanggungjawab seperti MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tidak melakukan sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan liga bola sepak tanah air, tidak mustahil satu hari nanti Liga Malaysia akan mengikut jejak langkah seperti liga di negara jiran iaitu Singapore Premier League (SPL).

Untuk pengetahuan semua, SPL pada musim ini hanya mempunyai lapan pasukan sahaja yang bersaing untuk merebut kejuaraan liga dan secara jujurnya boleh dikatakan liga itu kini tidak lagi kompetitif jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

Contoh terbaik adalah pasukan Warriors FC yang merupakan pasukan terbaik di negara tersebut apabila telah meraih pelbagai kejayaan termasuk beraksi di pentas Asia tetapi akibat masalah kewangan yang dihadapi pasukan tersebut terpaksa dibubarkan.

Masalah kewangan ini juga cukup sinonim dengan Liga Malaysia yang mana saban tahun masalah sama berulang dan kini semakin parah apabila sebelum saingan liga bermula sudah kedengaran ada pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji.

Jika masalah ini berterusan, tidak mustahil pasukan-pasukan yang mengalami masalah kewangan akan mengambil langkah drastik seperti menarik diri dari saingan liga.

Apabila sesebuah pasukan mengalami masalah kewangan ia secara langsung memberikan impak besar pada prestasi pasukan yang mana pemain-pemain tidak akan bersemangat untuk turun beraksi dek perlu memikirkan bagaimana mereka hendak menyara keluarga atau menjalani kehidupan seperti biasa.

Walaupun bola sepak Malaysia mempunyai ramai peminat setia tapi kehadiran peminat ke stadium semakin menurun dari hari ke hari dan peminat kini lebih cenderung untuk mengikuti perkembangan liga luar negara dan perkara ini disumbang oleh masalah yang sedang berlaku ketika ini.

Tanpa sokongan daripada peminat, pasukan akan mengalami masalah untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung kos operasi mereka dan jika masalah ini berterusan tidak mustahil untuk sesebuah pasukan ‘gulung tikar’ kerana sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan saingan.

Dengan situasi semasa ketika ini jika tiada perubahan drastik dilakukan, mungkin dalam tempoh lima tahun lagi saingan Liga Super akan hanya mempunyai enam atau tujuh pasukan sahaja dan selebihnya ‘bungkus’ dek masalah kewangan.

Jadi kesimpulannya, pihak bertanggungjawab harus berhati-hati dalam menghadapi cabaran yang semakin besar dari hari ke hari jika ingin mengelak nasib yang sama seperti SPL yang kini hanya mempunyai lapan pasukan sahaja yang bersaing.

Dengan langkah-langkah yang bijak dan perubahan struktur yang tepat, Liga Malaysia berpotensi untuk terus berkembang dan bersiang di peringkat antarabangsa (sudah terbukti), namun tanpa tindakan yang serius dalam menangani masalah kewangan, kehadiran peminat dan pembangunan, tidak mustahil Liga Malaysia akan mengikut jejak langkah SPL.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen