Jurulatih boleh cabar keputusan pengadil jika FVS diperkenalkan
Sukan bola sepak terus berkembang mengikut peredaran zaman tidak hanya dari segi kemahiran pemain dan gaya permainan tetapi juga dari aspek teknologi untuk membantu dalam membuat keputusan-keputusan penting di atas padang.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah memperkenalkan teknologi Video Assistant Referee (VAR) bagi membantu pengadil perlawanan membuat keputusan lebih tepat dalam situasi atau insiden yang pengadil tidak dapat melihat dengan jelas sekaligus dapat mengelak keputusan yang dibuat mencetuskan kontroversi.
Terbaru FIFA telah mencadangkan untuk memperkenalkan sistem Football Video Support (FVS) yang mana ia adalah alternatif kepada VAR yang akan memberi peluang kepada jurulatih untuk mencabar keputusan pengadil.
FIFA bagaimanapun masih lagi menunggu kelulusan daripada International Football Association Board (IFAB) untuk melakukan ujian FVS ini.
Untuk pengetahuan, FVS adalah sistem semakan baru yang diperkenalkan oleh FIFA pada awal tahun ini yang mana ia memberi sokongan kepada liga-liga yang tidak mampu melaksanakan VAR.
Apa yang menarik lagi adalah FVS membenarkan jurulatih pasukan mencabar keputusan pengadil sekiranya merasakan keputusan yang dibuat tidak tepat.
Jurulatih yang boleh membuat cabaran itu sekiranya terdapat kesilapan jelas dan nyata dalam pengadil membuat keputusan dalam empat situasi tertentu; gol, penalti, kad merah langsung dan indentiti pemain yang salah.
Untuk mencabar keputusan pengadil, jurulatih perlu memberi isyarat kepada pegawai keempat dengan menggunakan kad semakan dan setiap pasukan dibenarkan untuk membuat dua cabaran sahaja dalam setiap perlawanan, dan jika berjaya mereka akan kekal memiliki semakan tersebut untuk kegunaan masa hadapan.
Kegunaan FVS hampir sama seperti VAR yang mana semasa semakan, pengadil akan merujuk semula pada monitor yang berada di tepi padang dengan bantuan operator semakan.
Dilaporkan FIFA sudah pun menguji FVS dalam kejohanan peringkat belia dan mendapat maklum balas yang cukup positif.
FVS dikatakan tidak akan menggantikan VAR tetapi ia menawarkan solusi yang lebih kos efektif untuk memperbaiki mutu pengadilan.