9 Pemain sahaja turun beraksi! Apa nak jadi dengan Liga A1?

721

Nampaknya masalah kewangan dalam kancah bola sepak tanah air semakin parah kerana ia bukan sahaja melibatkan Liga Super tetapi juga liga semi-profesional Liga A1 (Liga M3).

Baru-baru ini ketika perlawanan Liga A1 berlangsung telah menyaksikan kelab PIB Shah Alam hanya menurunkan sembilan pemain sahaja untuk menentang Manjung City FC.


Lebih parah lagi, sembilan pemain tersebut terpaksa bermain sehingga tamat perlawanan dek tidak mempunyai pemain di bangku simpanan dan perkara ini bukan sahaja mencemarkan prestij sesebuah liga tetapi juga memalukan.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada pasukan PIB kerana tetap hadir untuk turun beraksi biarpun turun dengan serba kekurangan.

Difahamkan bukan PIB sahaja yang sedang dalam krisis kewangan ketika ini sebaliknya banyak kelab lain turut berdepan masalah sama.

Situasi ini bukan kali pertama berlaku kerana pada musim 2022 pasukan dari Liga M3 iaitu Langkawi City FC yang beraksi dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang KL City FC hanya membawa 14 pemain sahaja dek masalah gaji yang dihadapi pasukan.

Dek masalah tunggakan gaji yang semakin parah sejak kebelakangan ini, maka sudah timbul khabar angin yang cukup tidak enak dikatakan sedang berlaku dalam kancah bola sepak tanah air ketika ini.

Terdapat khabar angin yang mengatakan bookie bola sepak sudah mula ‘cucuk jarum’ dengan mendekati pemain dan pasukan yang bermasalah.

Biarpun tiada sebarang bukti buat masa ini tetapi beberapa keputusan pelik yang berlaku dalam saingan Liga A1 sebelum ini menjadi bualan ramai terutamanya ada pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji tetapi masih boleh menang perlawanan dan berada di kedudukan atas carta liga.

Sekiranya ia berlanjutnya, tidak mustahil bola sepak tanah air berpotensi akan ‘jahanam’ seperti yang pernah berlaku pada tahun 90an.

Pihak bertanggungjawab seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) perlu mencari jalan bagi menangani isu ini supaya tidak terlambat.