“Kita bagi peluang!” – Balrz.tv lepaskan TV3 dan Pemuda Pas Terengganu

3,234

Balrz.tv menjelaskan bahawa pihak mereka tidak akan mengambil tindakan kepada TV3 dan Pemuda Pas Terengganu.

Hal ini rentetan daripada isu penggunaan visual oleh syarikat penyiaran TV3 yang tidak dikredit kepada pihak Balrz.tv.


Tidak terhenti di situ sahaja, Pemuda Pas Terengganu juga turut mencetuskan kontroversi apabila melakukan penstriman video secara haram perlawanan pramusim Melaka United menentang Terengganu FC yang menimbulkan kecaman penonton.

Menurut Ketua Produksi Balrz.tv, Wan Sharizie Wan Ramli berkata pihak mereka tidak bercadang untuk mengambil tindakan dan menerima permohonan maaf terbuka yang telah dilakukan oleh kedua-dua pihak tersebut.

Beliau menganggap perkara ini merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dalam menyediakan platform terbaik kepada peminat bola sepak tempatan.

“Kami tak bercadang untuk ambil apa-apa tindakan kepada mereka memandangkan mereka telah membuat permohonan maaf kepada Balrz.tv”

katanya kepada Harimau Malaya

Biarpun tidak akan mengambil tindakan kepada kedua-dua pihak tersebut. Beliau agak kesal dengan tindakan segelintir penyokong yang menyokong penstriman video haram tersebut.

“Saya agak kesal dengan tindakan penyokong yang menyokong live stream haram. Bayangkan satu match RM 7.90, kalau dah 2,000 orang penonton sudah berapa yang kami rugi?”

“Kami sebenarnya tak untung banyak pun, selebihnya diberikan untuk kelangsungan pasukan. Kos untuk satu perlawanan pula adalah sekitar RM 3,000-RM 5,000. Untung yang kami dapat tidak seberapa. Nak tampung kos operasi, bayar gaji dan sebagainya lagi”

katanya kepada Harimau Malaya

Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa usaha mereka menubuhkan Balrz.tv adalah berdasarkan passion semata sebagai peminat sukan bola sepak. Biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan sebagai sebuah syarikat produksi kecil, ianya tidak akan mematahkan semangat mereka.

Bermula pada 2019, Balrz.tv merupakan sebuah syarikat yang menawarkan platform siaran langsung untuk pasukan-pasukan yang beraksi dalam liga amatur dan liga sosial.

Kini mereka mengorak langkah dengan menjadi penyiar rasmi untuk beberapa pasukan seperti Kelantan FC dalam Liga Premier, Pahang Rangers dalam Liga Futsal Premier Kebangsaan dan juga sesi pramusim pasukan-pasukan Liga-M.

Apabila ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata mereka akan mengeluarkan satu dokumentari yang berkaitan dengan seorang pemain bola sepak tempatan. Namun, nama pemain tersebut masih dirahsiakan.