Kami bergelut nak menang di Asiana Cup jadi untuk Supermokh Cup memang kami ‘prepare’ untuk jadi juara – Fareez Danial
Ketua pasukan Akademi JDT, Muhammad Fareez Danial Fadzly gembira apabila sasaran mereka untuk menjadi juara Supermokh Cup 2024 B-14 menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan juara bertahan Buriram United dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir semalam.
Menurut Fareez, beliau mengakui pasukannya bergelut pada kejohanan Asiana Cup yang berlangsung bulan lalu tetapi tampil pada kejohanan Supermokh Cup dengan sasaran untuk jadi juara.
“Alhamdulillah ini tahun pertama saya berjaya menjadi juara sebab pasukan saya memang bergelut jadi memang cukup gembira dapat menjadi juara tahun ini.
Bagi saya pasukan tahun lepas lebih bagus tapi tahun ini sedikit kurang sebab liga kita pun sikit dan ketika saingan liga Asiana Cup bulan lalu pun kami bergelut untuk menang.
Jadi untuk kejohanan Supermokh Cup ini memang kami ‘prepare’ untuk jadi juara,”
katanya.
Tidak hanya berjaya memimpin pasukannya untuk menjadi juara, Fareez turut menjadi wira apabila berjaya menjaringkan kedua-dua gol perlawanan pada aksi yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN).
Dalam pada itu, Fareez turut mengakui bahawa pasukan Buriram merupakan sebuah pasukan yang hebat kerana mereka merupakan juara tiga kali berturut-turut tapi beliau dan rakan sepasukan tidak gentar kerana mereka turun dengan mentaliti untuk jadi juara.
“Buriram merupakan antara pasukan terbaik di Supermokh Cup tapi kami JDT, kami tidak takut kerana kami datang ke sini dengan mentaliti untuk menjadi juara.”
Sementara itu, untuk kategori B-14, tempat ketiga menjadi milik Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-14 Dream yang berjaya menewaskan Reliance Foundation Young Champs juga dengan keputusan 2-1.