Dari segi teknikal kita tak jauh beza cuma dari segi fizikal sahaja – Ghani Malik
Ketua jurulatih pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A B-12, Ghani Malik bersyukur dan gembira apabila pasukannya berjaya menjadi juara Supermokh Cup 2024 dalam kategori B-12 selepas berjaya menewaskan Pattaya United 1-0 pada perlawanan akhir semalam.
Menurut Ghani, pasukannya sudah pun bertemu dengan Pattaya di peringkat kumpulan sekaligus membuatkan perlawanan tersebut menjadi sukar kerana pihak lawan sudah tahu corak permainan mereka.
“Pada peringkat kumpulan kita sudah jumpa mereka. Pada separuh masa pertama memang sukar untuk kita pegang bola tapi pemain berjaya untuk mendapatkan gol pada separuh masa kedua.
Jadi apabila kita berjumpa di peringkat akhir ini dengan pasukan yang sama mungkin pasukan Pattaya sudah ‘prepare’ jadi mereka sudah tahu pemain dan kekuatan kita. Mereka beri saingan yang baik hari ini cuma nasib menyebelahi kita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Ghani lagi, dari segi teknikal tiada perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan cuma perbezaan dari segi fizikal sahaja.
“Untuk kejohanan ini dari segi teknikal kita tak jauh beza cuma dari segi fizikal sahaja jadi mungkin selepas ini kita boleh ‘develop’ untuk kita ‘grow’ fizikal mereka untuk persaingan masa akan datang.
Perkara seperti ini perlu kerana ia akan membantu perkembangan bola sepak negara.”
Kemenangan ini menyaksikan NFDP A berjaya mempertahankan kejuaraan bagi kategori B-12.
Dalam pada itu, tempat ketiga menjadi milik pasukan tuan rumah iaitu Akademi JDT yang berjaya menewaskan NFDP B dengan keputusan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar.
Sementara itu, bagi kategori B-13 pula dimenangi oleh pasukan Zhejiang PFC dari China yang berjaya menewaskan AMD B-13 Future dengan keputusan 1-0.
Manakala bagi kategori B-14 pula dimenangi oleh Akademi JDT yang berjaya menumbangkan juara bertahan Buriram United dari Thailand dengan keputusan 2-1.