Adrienna Zamzaihiri tekad bantu Malayan Tigress menang setiap perlawanan di Piala AFF Wanita 2024
Pemain pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Adrienna Zamzaihiri memberitahu sasarannya untuk kejohanan Piala AFF Wanita 2024 nanti adalah untuk bantu pasukan menang dalam setiap perlawanan yang diharungi mereka.
“Saya tak kisah dapat jaringkan gol atau tidak tetapi apa yang penting adalah untuk bantu pasukan capai kemenangan untuk layak ke peringkat seterusnya sekaligus menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa,”
katanya.
Terdahulu ketua jurulatih Soleen Al-Zoubi meletak sasaran dan yakin skuad negara mampu menjadi juara pada kejohanan yang akan berlangsung di Laos nanti.
Adrienna yang sudah bersama pasukan sepanjang kem latihan pusat berkata persiapan pasukan berjalan dengan cukup lancar dengan setiap pemain memberikan komitmen yang cukup tinggi.
“Dari segi persiapan kita sudah buat taktikal yang terbaik untuk menentang Indonesia dan Kemboja nanti, jadi kami kini sedang meningkatkan lagi tahap keserasian antara kami ketika di atas padang dan akan berikan yang terbaik nanti.”
Skuad Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan B yang mana mereka akan memulakan kempen Piala AFF Wanita 2024 dengan perlawanan pertama menentang Indonesia pada Selasa, 26 November 2024 dan Kemboja pada Jumaat, 29 November 2024 di Stadium Nasional KM16, Vientiane, Laos.
Skuad negara akan berlepas ke Vientiane, Laos pada Khamis, 21 November 2024.