Anak-anak Hizir sudah harumkan nama Malaysia dalam sukan ping pong di pentas antarabangsa tapi sukar dapat sokongan

14

Tidak dapat dinafikan sukan ping pong bukan sukan yang popular di Malaysia seperti sukan bola sepak dan apabila sesuatu sukan itu kurang popular, maka sukar untuk mendapat sokongan terutamanya dari segi kewangan.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan sukan ping pong terutamanya di peringkat akar umbi, anak-anak Mohamad Hizir Ilias sentiasa menjadi buah mulut ramai kerana beliau bukan mempunyai seorang atau dua orang anak yang hebat bermain ping pong tetapi beliau mempunyai tujuh anak yang hebat dalam sukan itu.


Kehebatan mereka menyebabkan mereka mendapat gelaran Anak-anak Hizir dalam dunia ping pong dengan terbaru dua anaknya iaitu Arfan Hizir berusia 10 tahun dan Faiz Hizir berusia 12 telah memperoleh pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan juga luar negara.

Tahun 2024 boleh dikatakan sebagai tahun yang agak cemerlang buat kedua-dua pemain cilik itu dengan Arfan yang mewakili Kuala Lumpur berjaya merangkul tiga pingat emas (perseorangan, beregu, pasukan) U10B di Kejohanan Pingpong Tunas Harapan Milo Malaysia ke-35 yang berlangsung di Labuan serta berada dalam senarai Top 10.

Pada pertandingan U12B Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 di Pulau Pinang, Arfan berjaya membawa pulang dua pingat emas (beregu & pasukan) dan satu gangsa (perseorangan); Juara dua tahun berturut-turut di Kejohanan Tunas Harapan WP Kuala Lumpur U10B; Johan U11B Bakers Cottage Tour 2024 , Series 4 dan juga Johan U11B Bakers Cottage Tour 2024, Grand Final.

Manakala seorang lagi anaknya iaitu Faiz Hizir pula baru sahaja pulang dari World Hopes & Challenge di Asuncion, Paraguay yang mana beliau telah mencipta sejarah menjadi pemain lelaki Malaysia pertama yang berjaya mendapat podium/ separuh akhir di kejohanan itu.

Selain itu, Faiz turut mewakili Malaysia di kejohanan WTT Youth Contender Asuncion 2024 di mana beliau berjaya menjadi juara dalam kategori U15 Beregu Campuran, naib juara U15B Perseorangan dan tempat ketiga U13B Perseorangan.

Menurut Hizir, kejayaan itu tidak datang bergolek sebaliknya ia adalah dari hasil kerja keras anak-anaknya dan juga pengorbanan besar terutamanya dari segi kewangan.

Hizir mengakui memerlukan sokongan dari segi kewangan untuk anak-anaknya terus berkecimpung dalam dunia ping pong kerana mereka mempunyai potensi besar di pentas dunia, oleh itu beliau sangat berharap ada pihak yang dapat membuka mata sekaligus dapat tampil untuk memberi sokongan.

“Untuk makluman semua, orang nampak sukan ping pong ini seperti tidak banyak kos tapi sebenarnya ia menelan kos yang agak tinggi terutamanya apabila saya seorang sahaja yang bekerja terpaksa menanggung kos seperti latihan, peralatan dan sebagainya.

Jadi kita amat memerlukan bantuan kewangan untuk pembangunan kerana sebelum ini anak-anak bermain sehingga peringkat negeri sahaja tetapi kini Alhamdulillah dua anak saya mewakili Malaysia jadi saya amat memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak untuk saya teruskan pembangunan anak-anak kerana saya nampak mereka ada potensi untuk pergi dengan lebih jauh jika ada suntikan dari segi kewangan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hizir mengakui ada mendapat bantuan daripada ADUN di kawasannya serta badan korporat tetapi ia lebih kepada ‘one-off’ sekaligus menyukarkan beliau memastikan anak-anaknya mendapat sokongan yang tepat untuk menjadi pemain berkelas dunia.

Purata kos untuk seseorang pemain merangkumi latihan dan peralatan ia menelan belanja ribuan ringgit setiap bulan tetapi Hizir hanya berkemampuan sejumlah kecil untuk ketujuh-tujuh anaknya itu sekaligus menyebabkan pembangunan anak-anaknya sedikit terbantut.

“Kos untuk seseorang pemain di peringkat negeri sekitar RM3,000 hingga mencecah RM7,000 tapi saya perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ yang mana saya terpaksa ‘squeeze’ oleh sebab itu pembangunan anak-anak saya sedikit terbantut.”

Walaupun serba kekurangan tetapi Hizir tidak pernah putus asa dan akan terus bekerja keras kerana beliau mengakui pemain-pemain cilik negara mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat dunia.

Beliau turut mengakui mengambil inspirasi daripada ‘Anak-anak Sidek’ selain bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang cukup memahami dan sentiasa menjadi penyokong utama beliau dan anak-anak.