Teruja dapat menang Tour Championship pada hari jadi saya – Tanapat Pichaikool
Kegembiraan berganda buat pemain golf profesional Thailand, Tanapat Pichaikool apabila bukan sahaja menyambut hari jadinya pada hari ini tetapi juga beliau berjaya menjadi juara untuk kejohanan Toyota Tour Championship (ADT).
“Ini adalah hadiah hari jadi yang paling bermakna buat saya kerana hari ini adalah hari jadi saya. Apa yang saya boleh katakan pada hari ini adalah ia sukar buat saya.
Beberapa pukulan tee saya tidak menyakinkan dan putting saya juga kurang menjadi hari ini, oleh itu saya ambil keputusan untuk main secara ‘bosan’ (selamat) bagi mencari peluang untuk menang dalam beberapa lubang terakhir dan berjaya mendapatkannya,”
katanya.
Pada hari terakhir yang berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club (KPGCC), Tanapat mencatatkan skor terburuknya sepanjang kejohanan ini iaitu melakukan 70 pukulan dua di bawah par sekaligus mengumpul 271 pukulan 17 di bawah par.
Dalam pada itu, Tanapat berkata walaupun rakan senegara Sarut Vongchaisit merupakan sahabat baiknya tetapi kedua-dua mereka bersaing dengan cukup sengit sejak dari lubang pertama sehingga ke lubang terakhir.
Biarpun kejohanan dimenangi oleh Tanapat, namun beliau tetap tumpang gembira dengan Sarut yang berjaya berada di kedudukan kedua yang hanya ketinggalan satu pukulan.
Kemenangan Tanapat menyaksikan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM70,000.
Sementara itu, Tanapat turut gembira apabila kemenangan ini membuka ruang dan peluang kepadanya untuk cuba merebut gelaran ADT Order of Merit yang mana beliau kini berada di kedudukan ketiga.
“Sudah tentu saya berasa cukup bagus untuk mempunyai peluang untuk menang Order of Merit yang mana ia merupakan impian setiap pemain golf tapi minggu hadapan ada lagi satu kejohanan besar jadi semua akan fokus untuk kejohanan itu jadi kita lihat apa akan berlaku nanti.”