KBS perkukuh literasi demokrasi dalam kalangan belia menerusi program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda (RD:KOM)

87

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru sahaja meluncurkan program  Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda (RD:KOM) yang mana ia bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan serta memperluas kesedaran belia tentang penglibatan belia dalam proses demokrasi.

“Rakan Demokrasi adalah salah satu Gaya Hidup dibawah Rakan Muda yang telah diberi nafas baru. Selain itu mengapa KBS melaksanakan program RD: KOM ini adalah kerana ia salah satu yang telah digariskan dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12).

Kalau kita tengok strategi F2 bidang keutamaan dalam dokumen RMK 12 adalah memperkasakan kumpulan bersasar dan dibawah itu ada membangunkan belia yang dinamik berdaya tahan dan berdaya saing.

Dalam dokumen sama juga digariskan pendidikan harus diberi sebab umur undi sudah diturunkan kepada 18 tahun jadi ini adalah usaha KBS bersama agensi-agensi kita seperti JBSN (Jabatan Belia dan Sukan Negara), Impact dan juga Iris serta kerjasama pelbagai pihak,”

kata Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Jelas Dr. Nagulendran lagi, program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada belia bahawa mereka mempunyai kuasa besar melalui kotak undi yang mana ia menyasarkan penyertaan seramai 20,000 orang belia berumur antara 13 hingga 30 tahun.


Program ini juga akan menekankan aspek kenegaraan berlandaskan kepada Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan serta sejajar dengan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) dan Dasar Belia Malaysia (DBM).

Dalam pada itu, Dr. Nagulendran turut memberitahu bahawa kajian daripada pihak Iris telah menunjukkan bahawa sebanyak 86 peratus belia sudah bersedia untuk mengharungi proses undi.

“Berdasarkan kajian daripada pihak Iris telah menunjukkan 86 peratus belia sudah bersedia untuk mengharungi proses undi jadi baki 14 peratus yang tidak begitu bersedia jadi kami harap melalui program ini akan dilaksanakan di 100 lokasi jadi kita harap dapat meningkatkan lagi belia untuk bersedia.

Kita juga mempunyai platform digital yang kami harap dapat menyantuni lebih ramai belia yang tidak dapat datang ke program fizikal untuk belajar tentang kuasa mereka dibawah undi 18.”