M6 World Championship tempat untuk kita tunjukkan mengapa KBS menyokong e-sukan – Adam Adli

24

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli memberitahu bahawa segala usaha pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyokong dan memperkasakan e-sukan di negara akan ditunjukkan pada kejohanan M6 World Championship yang akan berlangsung pada 21 November hingga 15 Disember ini di Malaysia.

“Banyak yang saya bincangkan dengan Fikri (Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Moonton Games) ketika di Manila yang mana saya berkata kita perlu buat banyak perkara pada tahun ini dalam nak mempertingkatkan kesedaran terhadap e-sukan.

Kebetulan kita lancarkan National Esports Development Guideline (NESDEG) yang mana ia menjadi garis panduan yang membolehkan struktur-struktur lain boleh faham bahawa kita bukan sombrono.

Kita juga boleh jangka pada kejohanan M6 nanti ia akan menjadi satu acara yang cukup bersejarah selepas seluruh negara gembira dengan kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) menang kejuaraan dunia (MSC 2024) dan ia akan menjadi tempat untuk kita tunjukkan mengapa KBS menyokong penuh e-sukan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Adam lagi, menjelang kejohanan M6 pihaknya juga telah melakukan pelbagai inisiatif seperti advokasi bersama pemegang taruh, malah beliau turut membentangkan mengenai e-sukan di dewan negara termasuk melakukan pameran di Parlimen untuk memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk melihat sendiri apa itu e-sukan.


Dalam pada itu, Adam turut memberitahu bahawa pihak KBS juga memperkenalkan dasar TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang mana e-sukan akan dijadikan sebagai salah satu kursus yang akan ditawarkan.

“E-sukan sudah dijadikan sebagai salah satu kursus yang nak dipromosikan dalam latihan kemahiran untuk golongan belia. Kita juga sering bertemu dengan pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk kita terus yakinkan dan bantu serta bantu perhalusi apa yang boleh kita perkenalkan dalam sistem pendidikan.”

Malah baru-baru ini juga telah berlangsungnya Simposium Kemahiran ILKBS 2024 bertujuan untuk mengumpulkan malum balas daripada pemegang taruh yang terdiri dari pihak industri, persatuan sukan, agensi peneraju dan e-sukan untuk memastikan TVET Sukan yang dirancang selaras dengan keperluan industri.

“Selepas ini mereka yang mempunyai sijil kemahiran akan ada pula sijil kemahiran berkaitan dalam penganjuran e-sukan, kejurulatihan dan sebagainya. Inisiatif ini sudah pun dilakukan oleh beberapa ‘gaming house’ seperti Todak yang mana mereka buat kursus latihan untuk lahirkan lebih ramai pakar dalam dunia e-sukan.

Itulah perkara inovasi yang kami mahukan, maksudnya jangan kita hanya fokus pada apa yang selama ini jadi stigma sebaliknya tengok apa potensi yang kita boleh dapat dari perkara ini.”

Sementara itu, untuk kejohanan M6 yang akan berlangsung di Axiata Arena nanti Malaysia akan mempunyai dua wakil iaitu Selangor Red Giants (SRG) dan Team Vamos yang mana Adam yakin dengan kemampuan kedua-dua pasukan itu untuk menyinar pada kejohanan itu nanti.