KDA FC mungkin turunkan ‘ubi muda’ pada aksi kedua Piala Malaysia menentang KL City FC jika lebih ramai pemain boikot perlawanan?
Cukup menyedihkan dengan apa yang sedang berlaku pada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika ini apabila mereka sedang mengalami masalah kewangan yang cukup parah sehingga ia menjejaskan prestasi pasukan musim ini.
Dengan masalah yang semakin meruncing membuatkan ramai pemain yang tidak mendapat gaji telah bersepakat untuk mengambil tindakan untuk memboikot perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024 ketika menentang KL City FC di Stadium Darul Aman baru-baru ini.
Ketua jurulatih Nafuzi Zain mengakui terpaksa melakukan perubahan pemain di saat-saat akhir dek pemain memboikot perlawanan tersebut yang menyaksikan hanya 12 pemain sahaja turun beraksi.
Dengan 11 pemain kesebelasan utama dan hanya seorang pemain simpanan, pemain Sang Kenari telah memperlihatkan semangat juang yang cukup tinggi apabila berjaya menewaskan KL City dengan keputusan 3-2.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu untuk aksi kedua yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras Kuala Lumpur pada 1 Disember ini untuk merebut slot ke suku akhir.
Hanya ketinggalan satu gol, peluang untuk KL City bangkit semakin cerah berikutan masalah yang sedang melanda pasukan lawan.
Lebih parah lagi, Nafuzi juga sudah pun meninggalkan Darul Aman berikutan masalah kewangan tersebut dan berdasarkan situasi semasa tidak mustahil ada pemain akan mengikut jejak langkah sama.
Jadi persoalan yang sedang berlegar di fikiran peminat ketika ini, adakah KDA akan turun beraksi dengan 12 pemain lagi atau mengikut jejak langkah seperti PIB Shah Alam yang turun beraksi dengan sembilan pemain sahaja untuk saingan Liga A1 (semi-profesional) dek masalah tunggakan gaji.
Jika lebih ramai pemain mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan, mungkin KDA terpaksa menurun pemain muda dari skuad Piala MFL, Piala Presiden atau Piala Belia.
Diharap pihak pengurusan tertinggi kelab dapat melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kelab dari terus ‘lemas’ atau lebih teruk lagi gulung tikar.