Skuad gabungan senior-junior atau skuad junior jadi taruhan Pau Marti di ASEAN Championship 2024?
Bahang ASEAN Championship 2024 (Piala AFF) semakin kian dirasai apabila sudah ada pasukan yang mengumumkan skuad yang akan diturunkan dalam kejohanan yang akan membuka tirai bermula 9 Disember ini.
Paling ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air ketika ini adalah untuk melihat barisan pemain yang akan dipanggil oleh ketua jurulatih Pau Marti Vicente untuk menyarung jersi Harimau Malaya bagi mengharungi cabaran edisi ini.
Dikhabarkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan mengeluarkan senarai pemain ke ASEAN Championship pada minggu dan perkara ini membuatkan peminat berteka-teki siapakah pemain yang akan dipanggil. Adakah skuad utama atau sebaliknya.
Untuk makluman, kejohanan ini tidak berlangsung dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) jadi kemungkinan besar ramai pemain utama tidak akan mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing dek jadual yang padat.
Melihat dari sudut positif, bagusnya kejohanan akan membuka ruang dan peluang kepada pemain lain dan pemain muda untuk mendapat minit permainan di pentas antarabangsa jika pemain utama tidak disenaraikan.
Bagaimanapun, persoalan ramai ketika ini pemain manakah yang akan diturunkan? Adakah Pau Marti akan menampilkan skuad gabungan pemain senior dan junior? Atau beliau akan membariskan pemain junior (pemain B-23).
Tidak dapat dinafikan ketika perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di New Zealand baru-baru ini Pau Marti telah menampilkan skuad gabungan pemain senior dan junior yang mana beliau gembira melihat prestasi pemain muda yang berjaya pamerkan prestasi baik.
Jadi mungkin pemain muda patut diberikan peluang untuk beraksi pada kejohanan ini seperti yang dilakukan oleh pasukan jiran Indonesia yang telah menyenaraikan 33 pemain yang menyaksikan Asnawi Mangkualam berusia 25 tahun pemain paling tua bersama Pratama Arhan berusia 22 tahun, selebihnya adalah pemain berusia bawah 22 tahun.
Malaysia mempunyai ramai pemain-pemain muda berkualiti yang sedang menanti peluang untuk bersinar di pentas antarabangsa, oleh itu pentas ASEAN Championship adalah platform terbaik untuk Pau Marti memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain-pemain muda.
Perlu diingatkan bahawa Malaysia berjaya menjadi juara kejohanan ini buat pertama kali pada tahun 2010 yang mana ketika itu skuad negara diwakili oleh pemain dari skuad B-23.
Jika pemain muda dipertaruhkan untuk kejohanan ini pastinya ia juga akan memberi ruang kepada Pau Marti untuk melihat pemain-pemain berpotensi yang mampu memperkuatkan skuad bagi menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada bulan Mac 2025.
Apa pun sama-sama kita nantikan senarai pemain yang akan dipanggil untuk ke ASEAN Championship nanti.
Skuad negara telah diundi dalam Kumpulan A akan membuka tirai kempen menentang Kemboja pada 8 Disember; Timur-Leste pada 11 Disember; Thailand pada 14 Disember dan Singapura pada 20 Disember ini.