Ong Kim Swee mampu bawa Persis Solo keluar dari zon penyingkiran

108

Setelah meninggalkan pasukan Sabah FC baru-baru ini, jurulatih terkemuka Datuk Ong Kim Swee tidak menunggu lama untuk kembali apabila beliau kini sah dilantik menjadi ketua jurulatih baharu pasukan Persis Solo yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Kim Swee yang mempunyai pengalaman luas sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan juga kelab Liga Super menjadi pilihan Persis Solo untuk mengemudi pasukan itu kembali berada di landasan tepat.


Pengendali berusia 53 tahun itu telah membuktikan kemampuan beliau membawa kelab menjadi pasukan yang hebat dan digeruni ketika memimpin Sabah FC pada tahun 2021.

Sabah yang kembali ke saingan Liga Super pada tahun 2020 bergelut apabila saingan liga terpaksa dibatalkan separuh jalan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika itu dan pada musim 2021 mereka menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dari 12 pasukan yang bertanding.

Bagaimanapun dibawah kendalian Kim Swee, skuad The Rhinos telah memperlihatkan peningkatan yang cukup luar biasa apabila beliau berjaya membawa pasukan itu untuk berada di kedudukan Top 3 Liga Super untuk dua musim berturut-turut iaitu musim 2022 dan 2023.

Tidak hanya cemerlang di saingan domestik, beliau turut berjaya membantu Sabah mencipta sejarah apabila mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC sekaligus menjadi pencapaian terbaik pasukan itu.

Bukan sahaja membawa perubahan besar pada pasukan, beliau juga memberi impak yang cukup besar dalam membina hubungan erat dengan pemain serta komuniti bola sepak di negeri itu.

Oleh itu tidak hairan mengapa pengurusan tertinggi kelab Persis Solo memilih Kim Swee untuk mengendalikan kelab itu untuk mengharungi baki saingan liga.

Untuk makluman, kelab yang diberi jolokan Laskar Sambernyawa dimiliki oleh anak bekas Presiden Indonesia iaitu Kaesang Pangarep dan Erick Thohir (kini Presiden Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia) sedang bergelut dalam saingan liga apabila mereka kini berada di kedudukan ketiga tercorot.

Selepas 11 perlawanan, kelab itu hanya hanya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan sekaligus meletak mereka berada di zon penyingkiran.

Dengan berbaki 23 perlawanan lagi, kehadiran Kim Swee dijangka mampu mengubah nasib kelab itu untuk keluar dari zon bahaya dan tidak mustahil mampu mencapai kejayaan seperti yang beliau lakukan ketika bersama Sabah sebelum ini.

Apa pun selamat maju jaya diucapkan buat Datuk Ong Kim Swee!