‘Sumpahan’ perlawanan pertama masih ada tapi ia beri motivasi tambahan untuk kami bangkit – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi tidak bimbang dengan kekalahan kepada Indonesia kerana mereka masih lagi mempunyai peluang kerana mereka baru mengharungi satu perlawanan.
“Kami patut terima kekalahan ini, kami masih berada dalam kejohanan kerana ini baru perlawanan pertama jadi sudah pastinya kami akan melihat semula perlawanan untuk mencari punca kekalahan baik dari segi teknikal, taktikal dan mental.
Saya tahu pasukan saya, ‘sumpahan’ perlawanan pertama masih ada tapi ia akan memberi motivasi tambahan buat kami untuk bangkit dengan lebih kuat nanti,”
katanya.
Skuad negara mengharungi kempen Piala AFF Wanita 2024 perlawanan pertama Kumpulan B dengan langkah kiri selepas tewas kepada Indonesia dengan keputusan 1-0.
Soleen turut memuji pemain-pemainnya yang telah memberikan komitmen tinggi sepanjang perlawanan dan beliau akan melihat semula video perlawanan bagi memperbaiki kesilapan yang dilakukan untuk perlawanan kedua nanti.
Dalam pada itu, pemain negara Siti Nurfaizah mengakui kecewa dengan keputusan perlawanan tetapi beri jaminan mereka akan bangkit untuk baki perlawanan peringkat kumpulan.
“Sudah tentu saya kecewa keputusan perlawanan tapi saya gembira dengan prestasi pasukan kerana kita sudah buat yang terbaik dan kami akan pastikan kami ‘comeback stronger’.”
Sementara itu, Malayan Tigress kini dalam misi wajib menang pada perlawanan kedua menentang Kemboja pada 29 November ini di Padang Simpanan KM16, Vientiane.