Katsuhito Kinoshi akan terapkan permainan agresif dan tidak mengalah untuk aksi menentang Muangthong United
Ketua jurulatih baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tidak peduli dengan corak permainan pihak lawan sebaliknya fokusnya adalah kepada pasukannya sendiri yang mana beliau menegaskan bahawa mereka akan bermain dengan corak permainan mereka tersendiri iaitu agresif dan tidak akan mengalah sehingga ke wisel penamat.
“Kami bersedia untuk menentang pasukan hebat seperti Muangthong United dan saya sebenarnya tidak peduli dengan sistem permainan mereka sebaliknya hanya fokus pada pasukan kami sendiri bagaimana hendak melawan kerana itu adalah perkara paling penting.
Selangor mempunyai ramai pemain bagus jadi kami akan fokus pada corak permainan kami sendiri iaitu corak permainan agresif dan tidak mengalah sehingga tamat permainan dan anda akan melihatnya esok,”
katanya.
Selangor akan turun melayan kunjungan kelab dari Thailand iaitu Muangthong United FC pada perlawanan kelima Kumpulah H AFC Champions League Two (ACL 2) yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) esok.
Tambah Katsuhito Kinoshi lagi, misi mereka pada perlawanan esok adalah untuk mendapatkan tiga mata penuh apabila turun beraksi di laman sendiri.
Dalam pada itu, bagi memastikan misi untuk mengutip tiga mata penuh dapat dicapai pengendali dari Jepun ini berkata beliau berkata pemain-pemainnya perlu bermain sebagai satu unit.
“Kita akan bermain secara agresif dan berdisiplin sebagai satu pasukan dan saya sendiri sudah memberitahu kepada semua pemain bahawa kita perlu bermain sebagai satu pasukan.”
Beliau turut memberitahu bahawa kesemua pemainnya cergas sepenuhnya dan bersedia untuk turun beraksi esok.
Sementara itu, Selangor kini berada di kedudukan kedua kumpulan dengan tujuh mata selepas empat perlawanan, hanya dua mata dibelakang pendahulu Jeonbuk Hyundai Motors.
Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16 terbaik.