Nur Hazirah mengakui bermain di tempat sendiri akan beri kelebihan buat dirinya
Pemain boling negara, Nur Hazirah Ramli mengakui bermain di tempat sendiri akan memberi kelebihan buat dirinya untuk mempamerkan permainan yang terbaik pada kejohanan International Junior All-Stars Bowling Championship 2024.
“Memang ada kelebihan buat saya kerana saya berlatih di sini dan saya tahu apa yang akan berlaku jadi saya akan buat yang terbaik nanti,”
katanya.
Menurut Hazirah, beliau yang kini berada pada tahap terbaik mengakui semakin yakin dengan permainannya terutamanya selepas berjaya merangkul pingat emas pada kejohanan IBF World Youth Championship baru-baru ini dalam kategori berpasukan.
Dalam pada itu, Hazirah tidak menyangkal kejohanan kali ini akan disertai oleh ramai pemain yang hebat tetapi baginya cabaran terbesar yang perlu beliau hadapi adalah dirinya sendiri.
“Sudah tentu cabaran terbesar adalah diri saya sendiri kerana saya mahu tingkatkan permainan saya dari satu kejohanan ke kejohanan lain.
Tidak dapat dinafikan juga ramai pencabar dari negara-negara lain terutamanya dari Singapura dan Korea Selatan kerana mereka mempunyai pemain boling yang hebat.”
Hazirah berkata untuk kejohanan kali ini beliau akan cuba mempamerkan permainan terbaiknya untuk cuba merangkul kejuaraan pada edisi kali ini kerana ini merupakan tahun terakhir beraksi dalam kategori remaja berikutan beliau kini sudah berusia 21 tahun.
Sementara itu, International Junior All-Stars Bowling Championship merupakan kejohanan paling berprestij di Asia yang mana ia menawarkan jumlah wang hadiah sebanyak RM200,000 menanti pemenang.
Lebih 800 peserta daripada 16 negara termasuk Malaysia akan berentap untuk merebut kejuaraan pada tahun ini.