Izz Naqiuddin tak ‘goyang’, sasar jadi juara International Junior All-Stars Bowling Championship 2024

288

Pemain boling remaja negara, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin memberitahu beliau tidak gementar untuk menghadapi kejohanan International Junior All-Stars Bowling Championship 2024 yang akan berlangsung pada 4 hingga 15 Disember ini di Mega Lanes.

Menurut Izz, beliau yang sudah menyertai kejohanan ini sejak berusia 12 tahun berkata beliau meletak sasaran untuk menjadi juara pada kejohanan kali ini kerana ini adalah dua tahun terakhirnya untuk beraksi dalam kategori remaja.


“Saya tak gementar kerana setiap tahun setiap tahun kejohanan berlangsung di sini dan saya sudah bermain dalam kejohanan ini sejak berusia 12 tahun lagi dan pencapaian terbaik saya adalah berjaya menduduki tempat ketiga pada tahun 2022.

Jadi tahun ini saya sasar untuk menang gelaran All-Stars kerana ini tahun kedua terakhir saya untuk bermain dalam kategori remaja berikutan saya kini sudah berusia 20 tahun,”

katanya.

Izz mengakui cabaran besar menanti beliau kerana ramai pemain hebat dari pelbagai negara akan berentap untuk merebut kejuaraan dan beliau berkata pemain dari Korea Selatan antara pencabar utama.

Kejohanan kali ini akan menyaksikan sebanyak 16 negara akan turut serta iaitu Australia, Brunei, Kemboja, China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Lebih 800 pemain akan bersaing untuk merebut trofi kejuaraan dan wang hadiah terkumpul berjumlah RM200,000.

Dalam pada itu, Izz mengakui berasa tekanan apabila bermain di tempat sendiri kerana merasakan perlu menang di hadapan peminat sendiri.

Beliau pada masa sama mengakui cabaran besar menantinya pada kejohanan itu nanti dengan kehadiran ramai pemain hebat tapi fokus beliau adalah kepada permainannya sahaja.

“Saya kini berlatih untuk memperkemaskan permainan saya kerana saya mahu bermain dengan konsisten.”

Sementara itu, Izz kini berada pada prestasi terbaik selepas baru sahaja menjadi juara pada kejohanan Sonic International Classic di Singapura.