Peluang Selangor FC untuk ke pusingan 16 ACL 2 masih terbuka luas

217

Harapan peminat untuk melihat Selangor FC mengesahkan slot ke pusingan 16 AFC Champions League Two (ACL 2) lebih awal tidak kesampaian apabila mereka tersungkur di tempat sendiri pada perlawanan kelima Kumpulan H menentang Muangthong United FC.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan Selangor terlebih dahulu membuka akaun jaringan tetapi semangat juang tinggi yang dipamerkan Muangthong United telah menyaksikan mereka berjaya bangkit untuk menjaringkan dua gol sekaligus mencuri tiga mata berharga di tempat lawan.


Selepas tamat perlawanan, Muangthong United telah meminta kedudukan Selangor untuk berada di kedudukan kedua kumpulan dengan lapan mata, kelebihan satu mata.

Peminat tidak perlu berasa terlalu kecewa dengan kekalahan semalam kerana skuad The Red Giants masih lagi mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

Biarpun perlawanan semalam adalah aksi pertama dibawah kendalian ketua jurulatih baharu iaitu Katsuhito Kinoshi tetapi pasukan telah mempamerkan permainan yang cukup menarik dan mempunyai deretan peluang tapi gagal untuk menjaringkan gol.

Untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan, skuad Merah Kuning akan turun menentang kelab dari Filipina iaitu Cebu FC pada 5 Disember ini yang mana mereka dilihat tidak berdepan masalah untuk mendapatkan tiga mata penuh di tempat lawan nanti berikutan pernah menewaskan pasukan itu pada Oktober lalu.

Jika Selangor berjaya menang ke atas Cebu mereka akan mengumpul 10 mata sambil mengharapkan pencabar utama Muangthong United keciciran mata pada perlawanan terakhir mereka.

Peluang untuk wakil dari Malaysia ini cerah kerana perlawanan terakhir Muangthong United adalah menentang pendahulu kumpulan iaitu Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan yang juga merupakan pasukan pilihan.

Dengan rekod empat kemenangan dan hanya satu kekalahan (kalah kepada Selangor), Jeonbuk dilihat tidak akan berdepan masalah besar untuk mengutip tiga mata penuh sekaligus terus kekal sebagai juara kumpulan.

Oleh itu, sekiranya Selangor dan Jeonbuk masing-masing menang pada perlawanan terakhir mereka maka kedua-dua pasukan ini akan layak ke pusingan 16 ACL 2.