Nikola Jambor yakin Selangor FC akan bangkit lebih kuat

50

Pemain import Selangor FC, Nikola Jambor mengakui kecewa dengan kekalahan 2-1 kepada Muangthong United FC semalam tapi yakin bahawa pasukan akan bangkit lebih kuat untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan malam ini kerana kita mempunyai banyak peluang tetapi terkena tiang gol dan saya rasa jika kita berjaya menjaringkan gol kedua perlawanan akan berpihak pada kami tapi kami memberi ruang kepada pihak lawan sekaligus mereka berjaya menang,”

katanya.

Menurut Jambor, pasukan baru sahaja menjalani tiga sesi latihan bersama ketua jurulatih baharu iaitu Katsuhito Kinoshi oleh itu mereka perlukan sedikit masa lagi untuk memantapkan skuad.


“Kami hanya sempat melakukan tiga sesi latihan dan kami sedang mencuba beberapa perkara baru jadi sudah tentunya ia perlukan sedikit masa tapi saya yakin kami akan bangkit lebih kuat.”

Pada perlawanan kelima Kumpulan H AFC Champions League Two (ACL 2) yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri apabila tewas sekaligus menyaksikan mereka kini berada di kedudukan ketiga kumpulan, ketinggalan satu mata di belakang Muangthong United.

Dalam pada itu, skuad The Red Giants masih lagi berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik sekiranya mereka berjaya menewaskan Cebu FC pada perlawanan terakhir kumpulan yang dijadual akan berlangsung pada 5 Disember ini.

Selain sasar kemenangan, Selangor juga perlu mengharapkan Jeonbuk Hyundai Motors dapat menewaskan Muangthong United untuk memastikan mereka dapat menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua terbaik.