Setiap hari turun padang untuk latihan baru saya tahu berapa pemain yang datang – Victor Andrag
Ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag memberitahu dengan keadaan semasa pasukan ketika ini membuatkannya berada dalam situasi yang cukup sukar untuk membuat perancangan pasukan.
Menurut Victor, beliau sendiri hanya akan tahu pemain manakah yang ada apabila turun padang untuk sesi latihan berikutan adalah segelintir pemain yang tidak turun berlatih dek masalah tunggakan gaji yang semakin parah.
“Scenario kini berbeza kerana situasi yang berlaku dalam pasukan ketika ini semua orang tahu dengan kesukaran yang dihadapi buat masa ini jadi saya sendiri tidak pasti.
Kita nak harap pemain turun berlatih pun sudah tahu apa sedang berlaku jadi setiap hari turun padang baru tahu berapa ramai pemain yang turun jadi sejujurnya ia kerja yang cukup sukar buat saya,”
katanya.
Victor berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2024 yang menyaksikan Kedah tewas 4-1 (6-4) secara agregat kepada KL City FC.
Biarpun sudah tersingkir dari saingan Piala Malaysia, Sang Kenari masih lagi berpeluang untuk menjulang trofi apabila pasukan yang tersingkir dari pusingan 16 akan bersaing dalam Piala Cabaran 2024 dengan PDRM FC merupakan juara bertahan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam tadi, Victor memberi pujian kepada pemain-pemainnya yang sudah memberikan yang terbaik biarpun mereka tewas.
“Saya perlu hormat pemain-pemain apabila bermain dengan cukup cemerlang pada aksi pertama di tempat sendiri tapi di sini saya terpaksa buat perubahan dan kita dapat lihat persembahan yang positif tapi kita terpaksa akur dengan keputusan ini.”
Sementara itu, untuk perlawanan Piala Cabaran yang akan berlangsung tidak lama lagi Victor akan bertemu dengan setiap pemain untuk bertanya samada mereka ingin bermain atau tidak kerana dengan keadaan semasa beliau tidak dapat memaksa pemain untuk turun beraksi.