Haqimi Azim perlu tajamkan penyudahnya! Jika beliau dengar cakap saya beliau akan jadi pemain hebat – Miroslav Kuljanac
Ketua jurulatih KL City FC, Miroslav Kuljanac mengakui penyerang mudanya Haqimi Azim mempunyai ruang dan masa untuk meningkatkan kualiti permainannya kerana beliau seorang pemain yang cukup bermotivasi tinggi.
Menurut Kuljanac, beliau yakin Haqimi mampu menjadi pemain yang cukup hebat sekiranya pemain itu mendengar cakapnya.
“Dengan beliau (Haqimi) kita tidak akan tahu boleh gol atau tidak. Beliau perlu tajamkan penyudahnya.
Bagi saya beliau mempunyai masa untuk meningkatkan kualiti permainnya kerana beliau seorang yang cukup bermotivasi tinggi dan jika beliau dengar cakap saya beliau akan jadi pemain hebat,”
katanya.
Kuljanac berkata demikian ketika sidang media selepas tamat perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2024 yang menyaksikan KL City berjaya membenam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 4-1 (6-4) secara agregat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam tadi.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan tadi Kuljanac berpuas dengan permainan pasukannya yang berjaya mengambil peluang atas kesilapan pasukan lawan untuk menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua.
“Sudah tentu saya berpuas hati apabila kita berjaya menang 4-1. Kita bermain seperti yang dirancang kerana kita sudah dapat pengajaran pada perlawanan pertama di tempat lawan sebelum ini.
Kita sepatutnya boleh menang lebih awal berdasarkan peluang-peluang yang kita dapat tapi pemain ‘suka’ buat saya tertunggu-tunggu sehingga penghujung perlawanan. Bagi saya ia satu perlawanan yang cukup menarik dengan 10 gol dijaringkan dalam dua perlawanan yang berlangsung.”
Kemenangan itu akan menyaksikan skuad The City Boys akan bertemu dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir.
Aksi suku akhir dijadualkan berlangsung pada 12,13 & 15 Disember 2024, dan perlawanan suku akhir kedua dimainkan pada 21–22 Disember 2024.
Sementara itu, selain aksi suku akhir KL City akan bertemu dengan JDT pada 8 Disember ini untuk perlawanan Liga Super yang mana mereka dijangka akan kehilangan beberapa tonggak utama dek menyarung jersi pasukan kebangsaan untuk kejohanan Piala AFF 2024.