Saya cergas sepenuhnya! Teruja dapat panggilan untuk Piala AFF – Declan Lambert

60

Pemain KL City FC, Declan Lambert memberitahu beliau bebas dari sebarang kecederaan dan cergas sepenuhnya untuk beraksi pada perlawanan seterusnya biarpun pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2024 beliau terpaksa diusung keluar dek kecederaan.

“Tiada apa-apa, hanya sedikit perlanggaran jadi semuanya okay saja,”

katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Declan membantu pasukannya untuk benam cabaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 4-1 (6-4) secara agregat untuk menempah tiket ke suku akhir.


Dalam pada itu, Declan yang mendapat panggilan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti bagi menyarung jersi pasukan kebangsaan ke Piala AFF 2024 teruja apabila tersenarai dan berkata beliau akan bantu pasukan untuk mendapat keputusan positif.

“Cukup teruja dapat panggilan ke Piala AFF. Untuk saya, saya akan bermain menentang JDT dahulu sebelum sertai pasukan kebangsaan.

Saya akan cuba untuk bermain sebanyak yang mungkin dan bantu pasukan untuk dapatkan kemenangan.”

Piala AFF 2024 akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 yang mana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A.

Skuad negara akan memulakan kempen Piala AFF pada 8 Disember ini menentang Kemboja di Phnom Penh; 11 Disember menentang Timor-Leste di Kuala Lumpur; 14 Disember menentang Thailand di Bangkok dan 20 Disember menentang Singapura di Kuala Lumpur.