TVET Sukan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan! Bawa badan, ada minat dan belajar – Ts. Dr. Puteh Melor
TVET Sukan adalah satu cabang dalam pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional khusus dalam bidang sukan.
Konsep ini merangkumi latihan dan pendidikan bagi pelajar yang berminat untuk membina kerjaya dalam industri sukan, termasuk pengurusan sukan, kejurulatihan, pembangunan atlet, serta aspek teknikal berkaitan seperti kejuruteraan peralatan sukan dan pengurusan fasiliti sukan.
Inisiatif dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini akan terus memperkasakan TVET Sukan dengan mentransformasikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat kepada Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) tahun depan sebagai peneraju bidang teknologi sukan di Malaysia.
Objektif TVET Sukan adalah untuk pembangunan kemahiran khusus yang mana ia akan melatih pelajar dengan kemahiran praktikal yang berkaitan dengan industri sukan sekaligus akan membuka peluang pekerjaan dalam sektor sukan dan aktiviti fizikal.
Ia juga akan menjadi penggalakan sukan yang mana ia menyokong pembangunan sukan sebagai satu industri yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Menurut Pengarah IKBN Kuala Langat, Ts. Dr. Puteh Melor Wesma binti Salehen memaklumkan bahawa belia yang berminat untuk menyertai program TVET Sukan akan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan merangkumi pengajian, tempat penginapan dan makan minum termasuk mendapat elaun bulanan.
“Apabila kita bercakap mengenai kelebihan masuk ke IKBN Kuala Langat atau mana-mana ILKBS, pertama sekali kita mempunyai fasiliti yang bagus yang merangkumi hostel, gimnasium, padang-padang permainan untuk semua sukan seperti bola sepak, bola tampar, badminton, dewan serbaguna, dewan makan semuanya lengkap.
Bukan itu sahaja, bila kita sediakan tempat tinggal hostel juga secara percuma kepada semua yang ditaja oleh kerajaan, tapi kita akan beri pilihan kepada mereka samada ingin tinggal di hostel atau pun mereka ingin tinggal di luar.
Makan juga percuma yang mana kita akan sediakan makanan tiga kali sehari dan sudah semestinya belajar juga percuma, jadi peluang ini perlu diambil oleh semua belia di luar sana. Bawa badan, ada minat dan belajar. Itu saja, malah kita juga akan beri elaun,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, tempoh kursus hanya akan mengambil masa selama empat semester atau dua tahun sahaja iaitu tiga semester belajar dalam kampus, manakala satu semester lagi di latihan industri.
Antara program latihan dalam TVET Sukan yang ditawarkan adalah asas kejurulatihan dan pengurusan sukan; teknik latihan fizikal dan sains sukan; pengurusan fasiliti dan acara sukan; teknologi dan inovasi dalam peralatan sukan serta penggunaan data dan analisis dalam prestasi atlet.
Selain itu, KBS juga akan mula melaksanakan program TVET Sukan dalam bidang pembinaan dan penyelenggaran fasiliti sukan, permotoran sukan (4 roda dan 2 roda) dan fotografi sukan.
Dalam pada itu, Dr. Puteh turut memberitahu dengan pertambahan bajet dari RM6.8 billion pada tahun ini kepada RM7.8 billion untuk tahun hadapan akan menyaksikan mereka akan terus memperkasakan TVET Sukan dengan menjalinkan kolaborasi dengan pemain industri.
“Memang dari asal pun kita berkolaborasi bersama industri ini dengan sangat rapat. Kolaborasi ini merangkumi Jawatankuasa Penasihat Teknikal, kedua MoU yang mana dalam MoU ini menggariskan beberapa perkara; contoh yang pertama perkongsian peralatan yang mana mereka akan pinjamkan peralatan mereka untuk digunakan untuk pembelajaran.
Yang kedua pula memberi kita tempat untuk latihan industri kepada pelajar-pelajar kita. Bila ada latihan industri sudah tentu mereka boleh melihat pelajar-pelajar kita dan menapis untuk menjadi pekerja mereka, jadi itu adalah salah satu kelebihan.”