Maxim Events Girls Invitational: Memupuk bakat dan pertumbuhan bola sepak wanita di Asia Tenggara
Bagi memajukan bola sepak wanita di Asia Tenggara, satu inisiatif baharu iaitu Maxim Events Girls Invatational telah diperkenalkan pada tahun yang mana ia melibatkan kategori bawah 18 tahun tetapi untuk tahun ini, kejohanan itu telah memperkenalkan dua lagi kategori baharu iaitu bawah 12 tahun dan bawah 15 tahun.
Menurut Pengarah Maxim Event Girls Invatational iaitu Will Kucia, kejohanan kali ini melibatkan 64 pasukan daripada akademi elit melibatkan pasukan dari Malaysia, Australia dan Singapura yang berlangsung selama tiga hari di Eco Ardence, Setia Alam, Selangor.
“Kejohanan ini adalah untuk memberikan peluang kepada pasukan Malaysia dan antarabangsa untuk bersaing, serta membantu memajukan pasaran bola sepak wanita di Asia Tenggara. Jadi kami anjurkan kejohanan jemputan wanita yang pertama ini.
Kejohanan ini adalah lanjutan daripada kejayaan tahun lalu yang menampilkan kategori bawah 18 tahun yang mana ketika itu tiga pasukan antarabangsa turut serta iaitu Australia dan Singapura. Berdasarkan kejayaan itu, kita telah memutuskan untuk menganjurkan kejohanan pada hujung minggu ini.
Tahun ini terdapat peningkatan ketara dalam jumlah pasukan yang bertanding dalam Liga Suparimau di Malaysia, ditambah pula dengan pertumbuhan bola sepak wanita di negara ini, kejohanan khas untuk wanita ini diadakah selama tiga hari, melibatkan tiga kumpulan umur iaitu bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya Will Kucia lagi, tujuan kejohanan ini adalah untuk meningkatkan pendedahan terhadap bola sepak wanita selain bertujuan memberi peluang kepada pasukan dari Malaysia dan antarabangsa untuk bersaing sekaligus dapat membantu memajukan bola sepak wanita di Asia Tenggara.
Beliau percaya bahawa semakin banyak pemain bermain dan menyertai kejohanan, semakin banyak pendedahan mereka dapat termasuk timba pengalaman serta peluang untuk belajar.
Dalam pada itu, Will Kucia turut mengakui terdapat perbezaan dari segi fizikal yang mana pemain Malaysia mempunyai saiz fizikal yang lebih kecil tetapi mempunyai skil teknikal yang tinggi.
“Perkara paling ketara adalah perbezaan dari segi fizikal yang mana kita dapat melihat ketinggian beberapa pemain khususnya pemain bawah 18 tahun dan mendapati pemain Malaysia tidak tinggi atau sekuat pemain lain dari segi fizikal.
Namun jika kita melihat kepada kemahiran dan keupayaan teknikal, pemain Malaysia, termasuk beberapa pasukan yang menyertai kejohanan ini seperti pasukan pilihan FAM telah memperlihatkan keupayaan yang sangat tinggi dalam penguasaan dan kawalan bola.
Ia cukup menarik untuk melihat bagaimana dua budaya bola sepak yang berbeza bermain – satu yang lebih kepada kekuatan fizikal, manakala satu lagi lebih menonjol dari segi teknik dan permainan hantaran pendek.”
Sementara itu, Will Kucia berkata pada kejohanan ini mereka tidak hanya melibatkan pemain bola sepak wanita tetapi beliau juga gembira melihat penglibatan wanita sebagai pengadil dan juga dalam barisan kejurulatihan.