Qayyim Razin: Pelapis harapan sukan permotoran Malaysia di arena antarabangsa
Dunia sukan permotoran di Malaysia tidak sepopular seperti sukan lain seperti bola sepak kerana hanya segelintir yang kental sahaja akan menceburi sukan permotoran ini kerana salah satu faktor utama adalah kos kerana semua sedia maklum sukan permotoran ini menelan kos yang agak besar.
Biarpun kurang popular tetapi Malaysia telah membuktikan bahawa kita mempunyai ramai bakat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa termasuk pernah mempunyai pelumba yang beraksi di MotoGP iaitu Hafizh Syahrin yang mana ia telah menjadi inspirasi kepada ramai anak muda untuk ‘terjun’ ke dalam sukan permotoran ini.
Sukan permotoran kini semakin mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak yang mana Malaysia kini mempunyai ramai pelumba cilik yang berpotensi untuk menyinar dan salah seorang pelumba tersebut adalah Qayyim Razin Razali yang kini menjadi sebutan ramai.
Qayyim yang beraksi dalam perlumbaan FIM MiniGP telah memperlihatkan kehebatannya menerusi pelbagai kejayaan yang diperolehinya baik di dalam atau pun di luar negara biarpun baru berusia 12 tahun.
Menurut Qayyim, minat dalam sukan permotoran tercetus kerana sukakan cabaran yang ada pada sukan ini.
“Ketika itu saya memang sentiasa menyaksikan pelumbaan motorsikal dan dari situ timbul rasa minat nak main motor dan dari situ saya minta motor daripada ayah.
Apa yang membuatkan saya suka dengan sukan permotoran ini adalah ia memerlukan semangat juang yang tinggi serta ia cukup mencabar jadi saya suka cuba perkara seperti itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut bapa Qayyim iaitu Razali Nordin, beliau pada mulanya terkejut juga apabila anaknya menyuarakan hasrat untuk menceburi dunia permotoran yang mana beliau kemudian memberi sokongan penuh selepas melihat kesungguhan anaknya itu.
“Saya selalu bawa Qayyim pergi ke acara-acara permotoran seperti Cub Prix jadi dari situ timbul minatnya. Pada tahun 2018 selepas kami pergi ke acara Pocketbike dan selepas pulang dari acara itu dia mula minta saya belikan motor.
Pada mulanya saya terkejut juga, betul ke dia nak main motor ni sebab kalau nak main boleh kita cuba. Pada permulaan kita fikir untuk santai saja tapi disebabkan dia terlampau minat, itu yang kita teruskan juga.”
Sepanjang berkecimpung dalam dunia permotoran MiniGP, Qayyim telah meraih pelbagai pencapaian termasuk SIC Ohvale Junior Championship 110cc (Ke-5 keseluruhan) pada tahun 2021; SIC Ohvale Junior Championship 110cc (Ke-2 keseluruhan) pada tahun 2022; FIM MiniGP Malaysia Series 160cc (Ke-4 keseluruhan) pada tahun 2023; FIM MiniGP Indonesia Series 160cc (Juara keseluruhan) serta FIM MiniGP Malaysia Series 160cc (Ke-3 keseluruhan) pada tahun 2024.
Kejayaan tidak datang bergolek! Qayyim mengakui dunia sukan permotoran ini memerlukan mental yang kuat kerana cabaran yang dihadapi dalam setiap perlawanan cukup besar.
Qayyim pada masa sama turut mendedahkan pernah terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan yang menyaksikan beliau mengalami kecederaan parah tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung dalam dunia permotoran.
“Saya pernah mengalami kemalangan yang agak teruk di mana saya kena jahit di bahagian perut dan jari saya hancur yang mana sehingga sekarang ini masih belum pulih sepenuhnya. Tapi saya tidak pernah rasa putus asa sebaliknya rasa nak terus berlumba lagi.”
Dalam pada itu, Razali mengakui sukan permotoran ini menelan kos yang cukup besar yang mana untuk setiap perlumbaan beliau perlu mengeluarkan kos sekitar RM2,000 hingga ke RM3,000 yang merangkumi kos motor, pengangkutan, penginapan dan juga latihan.
Oleh itu beliau berharap lebih banyak pihak dapat tampil untuk menaja kerana tidak mencukupi sekiranya bergantung harap kepada satu pihak sahaja.
“Kalau kita nak harapkan badan induk saja ia tidak mencukupi jadi saya harap penaja-penaja dari pihak luar seperti pihak swasta kalau boleh membantu saya rasa kita boleh ketengahkan lebih ramai bakat baru.”
Beliau pada masa turut berharap agar pihak bertanggungjawab dapat memasukkan sukan permotoran sebagai salah satu sukan teras yang mana ia akan membuka lebih banyak peluang kepada pelumba muda lain.
“Jika anak-anak berbakat ini diberi sokongan yang sewajarnya, mereka boleh mengharumkan nama negara dan pada masa sama dapat mengelakkan aktiviti berlumba haram di jalan raya.”
Sementara itu, Qayyim berjanji beliau akan terus bekerja keras untuk memperolehi kejayaan supaya dapat membalas pengorbanan bapanya.
“Saya mahu pergi dengan lebih jauh lagi dan kalau boleh mahu sampai ke MotoGP kerana itu adalah impian saya sejak dahulu lagi.”