IYC bantu sediakan platform bagi belia membangunkan kemahiran dan potensi menerusi Projek Kampung Angkat MADANI KBS

20

Pusat Belia Antarabangsa (IYC) merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertujuan untuk menyediakan platform bagi belia untuk terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti khusus untuk membangunkan kemahiran dan potensi belia.

IYC juga terlibat secara aktif dalam Projek Kampung Angkat MADANI KBS sebagai salah satu usaha untuk memberdayakan belia dan komuniti di kawasan luar bandar yang mana ia melibatkan beberapa inisiatif seperti Program Pendidikan, Aktiviti Kesukarelawanan, Promosi Gaya Hidup Sihat, Pembangunan Ekonomi dan Penyertaan dalam Acara.


Menerusi Projek Kampung Angkat MADANI KBS, sebanyak dua kampung telah dipilih iaitu Kampung Long Latei dan Kampung Long Suling yang terletak di Ulu Baram, Telang Usan, Miri, Sarawak selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan memajukan kawasan kampung.

“Kampung Angkat MADANI KBS ini berdasarkan daripada projek-projek terdahulu sebelum ini yang mana kita cadangkan menerusi projek-projek bekalan air bersih kita. IYC pernah ke Ulu Baram untuk buat projek bekalan air bersih sebelum ini.

Bila kita buat projek itu kita dapat lihat banyak perkara yang boleh ditambah baik dan berpotensi jadi bila dicadangkan kepada setiap agensi di bawah KBS untuk namakan Kampung Angkat MADANI KBS kita cadangkan Kampung Long Latei dan Kampung Long Suling kerana golongan belia mereka aktif dan mahu buat benda-benda baru,”

ujar Penolong Eksekutif Program IYC iaitu Jadzreill Jaafar kepada Harimau Malaya.

Menurut Jadzreill, untuk Projek Kampung Angkat MADANI KBS di kedua-dua kampung tersebut dibahagikan kepada dua segmen iaitu pertama pembangunan yang mana mereka telah bangunkan gelanggang serba guna dan menaik taraf gelanggang futsal, manakala kedua ialah pembangunan belia yang melibatkan kursus kemahiran kepada penduduk kampung.

“Kita jalankan tiga kursus iaitu yang pertama kita buat kursus berkaitan dengan pelancongan dan eco host yang mana kita sediakan inisiatif untuk penduduk kampung menjadi pemandu pelancong, satu lagi adalah penyediaan rumah inap desa kerana tempat mereka ini sangat cantik serta penyediaan makanan yang mana kita libatkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Kementerian Pertanian.

Dan kursus yang ketiga adalah kraf tangan dan servis kereta diesel yang mana kita ajar mereka untuk buat servis asas kerana kita boleh katakan di sana setiap rumah pasti ada sekurang-kurangnya sebiji kereta pacuan empat roda.”

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KBS iaitu Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata pihak mereka memilih Kampung Long Latei dan Kampung Long Suling sebagai Kampung Angkat MADANI KBS kerana merasakan sudah tiba masanya kerja-kerja sukarelawan yang dibuat menerusi MYCorps di negara sendiri berbanding di luar negara seperti sebelum ini.

“Tujuan kita memilih Borneo kerana KBS mempunyai pengalaman MYCorps yang merupakan satu gerakan sukarelawan yang mana kita banyak buat kerja-kerja sukarelawan di luar negara tapi kami terfikir sudah tiba masanya kita lakukan kerja sukarelawan di bumi Malaysia sendiri.

Dan saya rasa mengapa kita memilih Sarawak atau pun Borneo adalah supaya belia-belia dari Semenanjung dapat melihat dan memahami budaya serta apa yang berlaku di pedalaman Sarawak ini.”

Tambah Ts. Dr. Nagulendran lagi, penglibatan mereka di sana juga adalah untuk mempelajari perkara baharu kerana mahu membawa pembangunan mengikut acuan penduduk di sana. Jelasnya lagi, program Kampung Angkat MADANI KBS tidak hanya berjalan sekadar ‘one-off’ sebaliknya ia adalah program yang berterusan.

“Saya juga telah meminta rakan-rakan untuk membuat satu perancangan mudah untuk pemerkasaan dan pembangunan sosio ekonomi kampung ini dengan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tertentu supaya bila KBS satu hari nanti meninggalkan kampung ini dan bergerak ke kampung lain penduduk kampung ini sudah ada ‘blueprint’ mereka sendiri tentang pembangunan yang mereka inginkan.”

Pada masa sama, Ts. Dr. Nagulendran turut menyeru pihak swasta yang telah menikmati hasil di negara untuk menyumbang balik kepada negara dengan bekerjasama bersama pihak kerajaan untuk projek seperti membina sekolah atau pun fasiliti-fasiliti.

“Bagi KBS untuk jangka masa panjang kita perlu pelbagai pemegang taruh daripada pihak swasta, NGO, universiti dan kerajaan melalui KBS untuk membawa pembangunan secara holistik berlandaskan konsep Malaysia Madani.”