Peluang JDT untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACLE masih terbuka luas
Semalam telah berlangsungnya perlawanan keenam AFC Champions League Elite (ACLE) yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Buriram United dalam aksi yang cukup dramatik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Keputusan tersebut telah menyaksikan kedudukan JDT jatuh ke kedudukan keenam carta liga dari 12 pasukan yang bersaing untuk Zon Timur dengan lapan mata.
Dua pasukan lain iaitu Shanghai Port (China) dan Buriram United (Thailand) turut mengumpul lapan mata tetapi JDT berada di atas kerana perbezaan gol.
Dengan dua kemenangan, dua seri dan dua kekalahan, peluang untuk skuad Harimau Selatan untuk sekali lagi melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik masih lagi terbuka luas dengan dua perlawanan berbaki.
Ini kerana lapan pasukan terbaik dari 12 pasukan akan layak ke pusingan 16 terbaik bersama lapan pasukan terbaik dari Zon Barat.
ACLE akan berehat seketika dan hanya akan bersambung semula pada bulan Februari 2025 yang mana akan menyaksikan JDT akan menentang Central Coast Mariners (Australia) di tempat lawan pada 11 Februari 2025.
AFC Rankings update after #ACLElite and #ACLTwo matchday 5
— Footy Rankings (@FootyRankings) November 29, 2024
🇰🇼 Kuwait moves up 2 spots to 13th in West
🇻🇳 Vietnam moves up to 6th, which gives an ACL Elite slot
🇲🇾 Malaysia dropped down from ACL Elite zone pic.twitter.com/09gykvE2pS
Walaupun akan bermain di tempat lawan, JDT dilihat tidak akan berdepan masalah besar untuk mengutip tiga mata penuh menentang Central Coast Mariners berikutan pasukan itu sudah pun tersingkir dari saingan ACLE selepas menduduki tangga kedua tercorot tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan.
JDT perlu memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka pada aksi di Australia nanti supaya mereka tidak akan turun dalam keadaan tertekan pada perlawanan terakhir kumpulan menentang gergasi dari Korea Selatan iaitu Pohang Steelers pada 18 Februari ini.
Ini kerana Pohang Steelers yang berada di kedudukan kelima liga telah membuat kejutan apabila berjaya menumbangkan gergasi dari Jepun iaitu Vissel Kobe dengan keputusan 3-1.
Oleh itu, bermain di tempat sendiri nanti JDT perlu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di SSI dan sekurang-kurangnya dapat mencuri satu mata dan jika berjaya menang ia adalah bonus buat mereka.
Sementara itu, tugas berat menanti dua wakil Malaysia di pentas Asia iaitu JDT dan Selangor FC yang mana mereka perlu mendapatkan keputusan positif bagi mengumpul mata AFC MA Ranking kerana berdasarkan kemaskini terbaru oleh Footy Rankings. Malaysia berisiko kehilangan slot automatik ke ACLE selepas dipintas oleh Australia dan Vietnam.
Ini kerana jika AFC MA Ranking kekal, Malaysia akan kehilangan slot automatik ke ACLE pada musim depan dan hanya akan mendapat satu slot automatik ke AFC Champions League Two (ACL2) bagi musim 2026/27.