Program Rakan Demokrasi Kuasa Orang Muda: Platform literasi demokrasi untuk belia Malaysia

33

Program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda (RDKOM) adalah inisiatif yang dirangka khas untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman belia mengenai sistem demokrasi, pendidikan kenegaraan, dan advokasi politik.

Ia adalah salah satu komponen utama dalam 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang merupakan sebahagian daripada yang telah diremajakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


RDKOM adalah program pendidikan demokratik yang menekankan elemen seperti demokrasi, perlembagaan, kepimpinan dan nilai-nilai kenegaraan yang mana ia tidak memberi fokus pada politik kepartian sahaja tetapi lebih kepada pemahaman tentang demokrasi secara menyeluruh.

“Rakan Demokrasi adalah platform untuk kita beri ruang dan peluang kepada belia untuk membabitkan diri dalam program-program berbentuk kenegaraan, kepimpinan tentang rukun negara, perlembagaan, kemasyarakatan jadi itulah Rakan Demokrasi.

Jadi kuasa orang muda merupakan program tentang pendidikan atau literasi, demokrasi advokasi, politik, tentang pendidikan kenegaraan jadi bila kita bawa elemen-elemen sebegini ia akan menjadi pencetus dan kesedaran bagaimana untuk menjadi warganegara muda yang aktif,”

kata Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Azreen Abd Aziz kepada Harimau Malaya.

RDKOM ini adalah untuk membina generasi belia yang memahami peranan mereka dalam demokrasi, termasuk cara memilih pemimpin, memahami struktur kerajaan dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Tambah Azreen lagi, maklum balas yang pihak mereka terima susulan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun telah memperlihatkan kematangan tidak semata-mata bergantung pada umur tetapi pada bagaimana seseorang individu memahami sesuatu isu dari pelbagai perspektif.

“Saya boleh beritahu bahawa kematangan bukan pada umur sebenarnya, sebaliknya ia lebih kepada bagaimana seseorang itu memahami sesuatu perkara itu dari pelbagai persepktif, jadi objektif kita adalah untuk memberi pendedahan, kesedaran, advokasi tentang nilai demokrasi, harga undi dan peranan mereka dalam membentuk negara.”

Dalam pada itu, Azreen juga memberitahu program RDKOM dilengkapi dengan modul pendidikan yang komprehensif yang mana ia dibahagikan kepada tiga slot utama iaitu:

  • Meneroka Demokrasi
    Slot ini membincangkan pandangan mengenai demokrasi dari perspektif global (Eropah, ASEAN) dan juga perspektif Malaysia, termasuk pemikiran Tunku Abdul Rahman. Ia juga melibatkan case study yang membantu peserta memahami kesan keputusan mereka dalam simulasi demokrasi.
  • Harga Sekeping Undi
    Peserta didedahkan kepada kepentingan undi dan bagaimana setiap undi memberi impak besar. Aktiviti ini menyedarkan peserta bahawa tanggungjawab mengundi tidak boleh dipandang ringan.
  • Kuasa Orang Muda
    Selain mengundi, slot ini membincangkan cara belia boleh memberi sumbangan kepada masyarakat melalui advokasi, penyertaan dalam NGO, dan inisiatif komuniti.

“Modul ini adalah modul sedia ada yang sudah ada atas talian dan untuk kita ‘reach out’ lebih ramai belia di luar sana. Kita buat secara fizikal dengan kerjasama Impact Integrated, sebuah agensi di bawah KBS.

Untuk menyampaikan modul-modul ini kita telah senarai pendek rakan pelaksana terdiri daripada NGO-NGO yang memang bergiat aktif dalam menyampaikan kepada belia-belia.”

Beliau juga telah memberi contoh program pertama di MMU Cyberjaya telah menarik 200 peserta dari pelbagai latar belajar, termasuk pelajar IPT, sekolah dan belia yang bekerja yang mana aktiviti seperti debat simulasi dan permainan interaktif membantu memupuk semangat menerima perbezaan pendapat dalam suasana yang harmoni.

Peserta turut memberikan respon positif dan menunjukkan keterujaan untuk memahami sistem demokrasi Malaysia.

Sementara itu, melalui lebih 100 siri program di seluruh Malaysia, RDKOM harap dapat melahirkan belia yang celik demokrasi dan mampu berperanan aktif dalam membentuk masa depan negara.

“With great power comes with great responsibility.” Harapan KBS adalah agar belia Malaysia memahami kuasa yang mereka miliki dan menggunakannya dengan bijak untuk kebaikan bersama.

Belia yang tidak dapat menghadiri program secara fizikal boleh belajar dan mendapatkan maklumat di platform e-learning di kuasaorangmuda.com.