Kesukarelawanan: Memupuk semangat kebersamaan belia Malaysia
Kesukarelawanan adalah tulang belakang kepada pembangunan sosial dan kemanusiaan di Malaysia. Ia bukan sahaja menyediakan peluang untuk membantu golongan memerlukan tetapi juga menjadi platform untuk belia belajar, membina jaringan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohammed Shahnaz Mawardi berkata kesukarelawanan adalah alat penting dalam membangun komuniti yang harmoni.
Dengan menyertai aktiviti ini, belia memperoleh pengalaman baru, mengembangkan keprihatinan terhadap masyarakat dan membentuk identiti diri sebagai anggota komuniti yang bertanggungjawab.
“Pentingnya untuk kita golongan belia atau rakyat Malaysia untuk sertai sukarelawan ini adalah berkenalan atau membuat jaringan sosial, melakukan kebajikan dan juga menimba pengalaman baru,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Shahnaz turut memberi contoh kerja sukarelawan yang dilakukan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu yang mana telah menyaksikan lebih 300,000 sukarelawan tampil membantu sebagai petugas barisan hadapan.
“Ketika negara dilanda pandemik COVID-19 saya salah seorang ‘desk officer’ yang berada dalam COVID immunization task force. Pada waktu itu semua orang takut nak keluar rumah tapi dengan semangat kesukarelawanan ini kita nak bantu rakyat Malaysia.
“Jadi pada waktu itulah pentingnya sukarelawan, jadi bila dipanggil untuk mesyuarat semua ahli terlibat; kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri kita duduk semeja untuk berbincang apa yang kita boleh bantu.
Ketika itu vaksin sudah ada jadi persoalannya macam mana kita nak selaraskan pemberian vaksin dan sebagainya, jadi ia terbahagi kepada dua ketika itu iaitu satu sukarelawan bahagian kesihatan dan satu lagi adalah sukarelawan yang datang untuk membantu. Agak terkejut apabila kita buka untuk pendaftaran lebih 300,000 orang mendaftar yang mana ia di luar jangkaan kami,”
Menerusi Program MyVac (Malaysia Vaccine Support Volunteers), sukarelawan tampil membantu sebagai petugas barisan hadapan yang menguruskan logistik vaksinasi dan memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Tambahnya lagi, kajian yang dilakukan oleh Charity Aid Foundation World Giving Index juga menunjukkan peningkatan Malaysia dalam kedudukan global pada 2023, iaitu di tangga ke-31 daripada 142 negara.
Hal ini membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia, termasuk belia, dalam melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukarela.
Dalam pada itu, Shahnaz turut memberitahu bahawa sukarelawan turut terlibat membantu mangsa bencana alam yang berlaku di beberapa negeri yang terkesan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika membantu seorang warga emas di Kelantan yang kehilangan tempat untuk berteduh dek banjir besar yang melanda.
“Antara perkara yang saya tidak boleh lupakan adalah ketika membantu seorang makcik yang merupakan mangsa banjir di Pantai Timur yang mana kami nak bantu tapi bila tanya mana rumah makcik, makcik itu berkata rumah sudah tiada, hanya tinggal tangga sahaja.
Jadi apa yang kami boleh bantu adalah beri bantuan asas seperti telur, kicap, beras dan sebagainya. Makcik itu ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS). Bagaimanapun, selepas itu kita telah berhubung dengan agensi untuk membantu menyediakan sebuah rumah untuk makcik itu.”
Sementara itu, Shahnaz turut memberitahu Program Satria yang diwujudkan pada 2021 adalah kesinambungan daripada inisiatif MyVac yang mana ia menyediakan pelbagai modul latihan, daripada pengurusan acara hingga sokongan kesihatan mental.
Jelasnya program tersebut bertujuan untuk sukarelawan dilatih secara sistematik untuk memberi impak yang lebih besar kepada komuniti.
Pada 7 Disember ini, JBSN akan mengadakan sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia bersempena dengan International Volunteer Day pada 5 Disember ini bagi menghargai usaha para sukarelawan dan mempromosikan budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda.
“Membantu orang lain adalah cara kita membantu diri kita sendiri untuk menjadi lebih baik.”