Program dan inisiatif KBS untuk golongan OKU dan warga emas

89

Sukan bukan hanya untuk segelintir orang sahaja tetapi sukan untuk semua orang termasuk untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk golongan OKU dan warga emas yang mana program ini bertujuan untuk memastikan semua golongan tanpa mengira keadaan fizikal atau usia dapat menikmati manfaat daripada aktiviti sukan dan kekal aktif secara fizikal.


Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya, Noor Azleen Yusop, ketika ini jumlah OKU di Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dianggarkan sekitar 600,000.

“Kalau ikutkan statistik untuk pendaftaran OKU ini lebih kurang 600,000 sahaja tapi sebenarnya ramai daripada itu, jadi kita di Jabatan Belia Sukan Negara (JBSN) bila nak buat sukan untuk semua kita sasar penyertaan bukan kepada pemegang kad sahaja, jadi kita akan ‘cater’ secara menyeluruh.

Jadi bila kita buat sukan ini berdasarkan permintaan untuk kita tengok apa keperluan OKU, siapa OKU yang kita nak ‘cater’ dan apa manfaat untuk OKU itu sendiri. Kita nak penuhi obektif tujuan kita iaitu sukan untuk semua,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Noor Azleen juga memberitahu sukan untuk OKU ini mempunyai dua kategori utama iaitu Sukan Prestasi Tinggi dan Sukan Untuk Semua.

Sukan Prestasi Tinggi (High Performance Sports): Ini melibatkan sukan berprestasi seperti Sukan Paralimpik yang mana atlet bertanding pada peringkat antarabangsa dengan klasifikasi kecacatan tertentu. Sukan ini melibatkan atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat.

Sukan untuk Semua: KBS memastikan bahawa setiap jenis kecacatan, termasuk kecacatan anggota badan, kerdil, down syndrome, autisme, pekak dan buta dapat menikmati sukan. Tujuan utama adalah untuk memastikan semua OKU tanpa mengira kategori kecacatan, dapat terlibat dalam aktiviti fizikal.

Jelasnya lagi, sejak tahun 2016 KBS telah melancarkan program Inspire i-Talent yang bertujuan untuk mengenal pasti bakat sukan dalam kalangan OKU yang mana program itu terdiri daripada beberapa ujian saringan untuk menilai kemampuan fizikal OKU dalam pelbagai sukan.

Program itu memberi tumpuan kepada 10 jenis sukan yang diiktiraf oleh pihak antarabangsa dan saringan dilakukan di seluruh negara.

“Program ini dilaksanakan di semua negeri kerana OKU tak ramai jadi kita tidak boleh harapkan data yang ada. Bila OKU ini datang mereka akan diiringi oleh pengiring sama ada guru atau ibu bapa. Jadi sasaran kita untuk satu negeri itu dalam 70 orang OKU yang datang tapi biasanya lebih tapi 70 orang itu adalah minimum.”

Saringan ini akan dibuka kepada peserta dari pelbagai latar belakang termasuk sekolah pendidikan khas, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan secara umum untuk mewakili negara dalam acara antarabangsa seperti temasya Sukan Paralimpik.

KBS turut menganjurkan Karnival Sukan OKU Aktif pada hari sambutan Hari Sukan Negara yang mana ia diadakan pada Sabtu kedua setiap bulan Oktober. Karnival ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan OKU untuk menyertai pelbagai jenis sukan.

Dalam pada itu, Noor Azleen juga berkata selain sukan untuk golongan OKU pihak KBS turut melaksanakan pelbagai program sukan untuk warga emas yang mana ia dilakukan melalui kerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Untuk sukan warga emas kita sebenarnya sealiran dengan agensi kerajaan yang lain. Kalau ikut untuk pembangunan warga emas ini banyak kementerian terlibat seperti Kementerian Kesihatan yang lebih kepada kesihatan warga emas. Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat lebih kepada kebajikan warga emas dan di JBSN kita mahu ‘fit the purpose’ kecergasan warga emas untuk penuaan sihat.”

Pada sambutan Hari Sukan Negara, KBS melaksanakan program Karnival Sukan Warga Emas yang mana ia memberi peluang kepada warga emas untuk bersukan bersama-sama rakan sebaya yang mana ia dapat mengeratkan hubungan sosial dan meningkatkan kesihatan fizikal mereka.

Antara sukan yang popular dalam kalangan warga emas termasuk golf, menembak, boling, tai chi dan senamrobik kerana ia membantu meningkatkan fleksibiliti dan keseimbangan tubuh. Pada masa yang sama ia akan memberi impak positif kepada kesejahteraan mental.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak KBS juga kini sedang dalam usaha untuk meningkatkan akses kepada kemudahan sukan di Malaysia supaya mesra warga emas dan OKU.

“Kalau di Malaysia ini di bandar-bandar besar memang ada kemudahan seperti gim luar dan taman rekreasi yang boleh diakses. Namun, taburan itu tidak secara menyeluruh berbanding di kampung-kampung dan di luar bandar masih agak ketinggalan.

Jadi sebenarnya untuk warga emas ini mereka boleh sahaja guna peralatan sama yang mana sebagai contoh di taman rekreasi ada ‘outdoor’ gim, yang itu tiada masalah dan sesuai dengan warga emas cuma perlu diperbanyakkan lagi sebab ada taman rekreasi yang tiada langsung.”

Melalui pelbagai program dan inisiatif oleh KBS ini dilakukan untuk memastikan golongan OKU dan warga emas tidak ketinggalan dalam aktiviti sukan.

Baik dalam pencarian atlet berbakat ataupun untuk memastikan setiap individu aktif secara fizikal, KBS komited dalam mewujudkan masyarakat inklusif yang memberikan peluang sama rata kepada semua golongan.