Kita harap dapat capai kejayaan di Piala AMEC sebagai hadiah perpisahan untuk Pau Marti – Syamer Kutty
Kapten pasukan kebangsaan Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba berkata beliau dan rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik untuk cuba mendapatkan kejayaan di Piala AMEC 2024 sebagai hadiah perpisahan buat ketua jurulatih Pau Marti Vicente.
Ia susulan kenyataan Pau Marti yang memaklumkan beliau akan melepaskan jawatan selepas tamat kejohanan Piala AMEC.
“Semua orang tahu Coach Pau sudah lama dengan pasukan kebangsaan dan pengumuman oleh beliau memberi impak kepada kami tapi kami harapkan kejohanan ini dapat dijadikan sebagai hadiah perpisahan yang baik untuk beliau selepas apa yang beliau sudah lakukan untuk pasukan.
Jadi saya harap kejohanan ini dapat dijadikan sebagai medan terbaik untuk memberi sesuatu kepada Coach Pau,”
katanya.
Syamer juga berkata setiap kali menyertai sebarang kejohanan setiap pemain perlu mempunyai ‘winning mentality’ dan akan meletak sasaran untuk menang kejohanan atau melangkah sejauh yang mungkin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad, 8 Disember 2024.
Dalam pada itu, Syamer yang merupakan salah seorang daripada tiga pemain yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten mengakui mereka kesuntukan masa dalam membuat persiapan untuk ke kejohanan ini tetapi ia bukan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik.
“Kita tahu yang kita kesuntukan masa untuk buat persiapan tapi kita tahu idea yang Coach Pau nak dan apa yang kita perlu buat, jadi saya harap kita dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk perlawanan pertama.
Ini adalah peluang untuk pemain-pemain berbuat sesuatu untuk negara dan kita tahu kita tidak berpeluang untuk dapatkan semua pemain tapi kita hargai kepada semua yang datang dan akan memberikan sesuatu buat pasukan negara.”
Untuk kejohanan Piala AMEC, Pau Marti akan menggunakan gabungan pemain senior dan junior sekaligus memberi ruang dan peluang kepada pemain baharu untuk membuktikan kemampuan mereka.
Skuad negara seterusnya akan pulang ke tanah air untuk perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 11 Disember 2024 dan kemudian terbang pula ke Bangkok, Thailand bagi perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu, 14 Disember 2024 sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan di tempat sendiri menentang Singapura pada 17 Disember.