Setiap pemain yang dipanggil kali ini berhak untuk berada dalam skuad Harimau Malaya – Dominic Tan
Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Dominic Tan berkata walaupun pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Pau Marti untuk kejohanan Piala AMEC 2024 kali ini adalah gabungan pemain senior dan baru tapi kesemua pemain sememangnya berhak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Kita membariskan ramai muka baharu tapi saya percaya semua orang berhak untuk berada di sini dan sudah semestinya saya yakin setiap pemain akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang positif di kejohanan ini.
Saya sendiri juga akan buat yang terbaik bagi membantu pemain-pemain baru dalam skuad kali ini,”
katanya.
Skuad negara akan memulakan kempen Piala AMEC mereka pada 8 Disember ini menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh.
Dalam pada itu, Dominic mengakui cabaran besar menanti mereka pada kejohanan itu nanti tetapi beliau mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan sebaliknya mahu fokus pada pasukan sendiri.
“Ya sebagai pemain sudah tentunya kita mahu menang perlawanan tapi untuk perlawanan antarabangsa ia sentiasa sukar dan perlawanan pertama nanti akan menjadi sangat penting jadi kita perlu dapatkan kemenangan pertama.”
Skuad kendalian Pau Marti akan bersaing dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.
Skuad negara seterusnya akan melayan kunjungan Timor-Leste untuk perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 11 Disember dan kemudian terbang pula ke Bangkok, Thailand bagi perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu, 14 Disember sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan di tempat sendiri menentang Singapura pada 17 Disember.
Sementara itu, Dominic turut rasa satu penghormatan buat dirinya apabila telah diberi kepercayaan oleh Pau Marti sebagai salah seorang kapten pasukan untuk kejohanan kali ini.
“Ia satu penghormatan buat saya apabila diberi kepercayaan sebagai kapten bersama dan saya akan buat yang terbaik untuk pimpin pasukan.”