Kesihatan Mental di kalangan belia: Isu stigma dan cabaran sosial
Kesihatan mental merupakan isu yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan belia.
Kajian yang dijalankan oleh Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan orang (80-85%) percaya bahawa seorang profesional kesihatan mental boleh membantu mereka, masih ada stigma yang menghalang sebahagian individu daripada mendapatkan bantuan.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Pakar Kesihatan Mental, Dr. Chua Sook Ning mengakui isu ini semakin ketara apabila semakin ramai individu berbicara tentang masalah mental mereka di platform media sosial, termasuk Facebook, X(Twitter) dan Instagram, namun, ia masih menjadi topik yang sukar dibincangkan secara terbuka.
“Menerusi kajian terbaharu menunjukkan bahawa golongan belia ketika ini berdepan tekanan yang cukup tinggi seperti tekanan dari segi kewangan dan tekanan di media sosial yang mana ia menjejaskan mereka.
37% belia mengalami kemurungan manakala 16% pula mengalami kebimbangan (anxiety) dan perkara ini amat membimbangkan bagi kami. Sangkaan sosial juga seperti tekanan daripada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sering kali menambah beban mereka.
Contohnya, perbandingan antara individu dalam kalangan keluarga atau kawan-kawan mengenai pencapaian kejayaan hidup sering menimbulkan perasaan rendah diri dan kegelisahan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dr. Chua berkata kira-kira 20% belia enggan berbicara mengenai masalah mereka dengan orang lain kerana bimbang dinilai atau dianggap lemah.
Oleh itu, beliau menekankan kepentingan sokongan sosial dalam menangani masalah kesihatan mental ini dan stigma terhadap kesihatan mental menjadi penghalang besar yang mana sesetengah belia takut untuk bercakap dengan seorang profesional kesihatan kerana khuatir akan akibatnya seperti hilang pekerjaan atau diskriminasi.
Bagi menangani isu tersebut, Dr. Chua berkata pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan IYRES telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran memberikan sokongan kepada individu yang memerlukan.
“Ini bukan peranan IYRES dengan KBS sahaja tapi seluruh masyarakat perlu bersama. Di IYRES kita buat kajian dan kita kongsi dapatan kepada orang ramai kemudian bagaimana dialog di peringkat komuniti dapat dibuat.
KBS akan mempunyai program-program ’round-table’, perbincangan, temuramah, Rakan Muda jadi kita mempunyai semua program ini tapi jika orang tidak mahu sertai KBS dan IYRES tidak boleh berbuat apa-apa.
Oleh itu, semua masyarakat perlu melihat perkara ini sebagai penting dan kita nak tingkatkan kesihatan mental kita. Ia bukan kesihatan mental IYRES tapi ia adalah kesihatan mental kita. Jadi mereka perlu berkongsi untuk beritahu apa yang mereka perlukan kepada IYRES dan KBS, kami akan sokong.”
Tambahnya lagi, pihak IYRES dan KBS akan terus menyediakan lebih banyak sokongan dalam bentuk program yang memberi peluang kepada orang ramai untuk belajar tentang kesihatan mental termasuk memberi tumpuan kepada meningkatkan literasi kewangan, menyediakan akses kepada kaunseling serta menawarkan program sokongan di peringkat universiti.
Menerusi program komuniti, kedua-dua agensi ini berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia tentang cara mengatasi cabaran mental dan emosi mereka.
Dr. Chua mengakui platform media sosial boleh digunakan sebagai saluran sokongan tetapi ia tidak dapat menggantikan interaksi sosial yang sebenar. Oleh itu, penting untuk mencari keseimbangan antara sokongan digital dan sokongan sosial yang lebih mendalam.
Kesejahteraan mental bukan sahaja tentang mengatasi tekanan tetapi juga tentang membina komuniti yang menyokong, menghargai pendapat individu dan menyediakan ruang untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi.
IYRES dan KBS akan terus berusaha untuk membangunkan masyarakat yang lebih peka terhadap isu kesihatan mental namun sokongan ini memerlukan kerjasama aktif daripada masyarakat untuk memastikan setiap individu mendapat akses kepada bantuan yang diperlukan.
Dengan membina kesedaran, menyokong pertumbuhan emosi yang sihat dan menyediakan platform untuk berbincang, kesihatan mental dalam kalangan belia dan seluruh komuniti dapat ditingkatkan.