Aaron Chia bakal nakhoda baru skuad badminton negara?

180

Selepas Lee Zii Jia tidak lagi menjadi ketua pasukan skuad badminton lelaki negara, Aaron Chia diberikan tanggungjawab untuk menjadi kapten baru skuad negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Dan kejayaan pertamanya adalah membantu skuad negara menjuarai BATC 2022 selepas menumpaskan Indonesia di aksi final.


Pemain beregu berusia 24 tahun itu dilihat sebagai calon yang paling sesuai menjadi ketua pasukan memandangkan pengalaman luas beliau mewakili skuad negara dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Aaron yang berpasangan bersama Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain memperoleh pingat emas Sukan Sea 2019 menunjukkan bahawa beliau sememangnya mempunyai karisma.

Tambahan pula, rata-rata pemain yang membarisi skuad utama badminton negara masih muda dan kurang pengalaman dalam saingan antarabangsa. Jadi, pemilihan Aaron sebagai kapten merupakan langkah paling tepat dalam membimbing pemain-pemain ini.

Beliau juga merupakan antara pemain senior yang sudah lama bersama skuad negara. Sudah pastilah beliau mempunyai kebolehan dan ilmu pengetahuan yang boleh digunakan untuk memimpin pemain-pemain muda ini.

Zii Jia sebelum ini berjaya membawa skuad muda negara mencipta kejayaan meraih tempat ketiga Piala Sudirman dan layak ke suku akhir Piala Thomas. Kejayaan ini merupakan satu penanda aras kepada Aaron sekiranya beliau dikekalkan sebagai ketua pasukan.

Menarik untuk dilihat apakah Aaron mempunyai karisma sebagai seorang ketua pasukan yang baik.

Sewaktu perlawanan di dalam gelanggang, beliau seringkali menenangkan rakan gandingannya Wooi Yik yang ada kalanya gugup dan hilang fokus. Dari segi kepimpinan sewaktu beraksi di dalam gelanggang, ternyata kredibili beliau sebagai seorang pemimpin tidak dapat dinafikan lagi.

Cabaran terbesar adalah untuk mengepalai skuad negara untuk bersaing dalam Piala Thomas yang hanya berbaki kira-kira 3 bulan sahaja lagi andai beliau terus diberikan peluang untuk menjadi ketua pasukan.

Adakah Aaron mampu menjadi pencetus kejutan yang bakal dilakukan oleh skuad negara?