Kita perlu fokus untuk cari kemenangan, bukan jumlah gol – Pau Marti

74

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Pau Marti memberitahu fokus mereka ketika ini adalah untuk mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala AMEC 2024 menentang Timor-Leste esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Saya rasa kita tidak boleh terlalu memikirkan jumlah gol. Fokus utama adalah untuk memastikan kemenangan.

Jika kita ‘approach’ perlawanan ini dengan intensity tinggi dan ‘attitude’ yang betul dari awal, saya percaya tidak kira lawan itu berada di ranking lebih rendah atau lebih tinggi, kita mesti yakin bahawa kita akan menang,”

katanya.

Pau Marti berkata demikian selepas pasukan Timor-Leste yang bertemu dengan gergasi Thailand pada Ahad lepas mengalami kekalahan besar apabila dibelasah 10-0.


Biarpun pasukan lawan mengalami kekalahan besar, Pau Marti enggan pandang rendah dengan kemampuan pasukan lawan sebaliknya berkata mereka perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan yang sukar.

“Setiap perlawanan sentiasa sukar tidak kira siapa lawan kita. Setiap pasukan lawan apabila membuat persiapan, mereka mahu menyukarkan kita. Jadi, kami menjangkakan perlawanan yang sukar.

Bermain di laman sendiri, kami perlu tunjukkan karakter, tahap permainan dan perlu pastikan setiap pemain yang diberi peluang memahami bahawa bermain untuk Malaysia bukanlah tugas mudah. Fokus utama adalah pada diri sendiri, bermain sebaik mungkin dan memastikan kemenangan.”

Beliau pada masa sama juga berharap penyokong dapat membanjiri SNBJ esok untuk memberikan sokongan buat Harimau Malaya.

Dalam pada itu. Pau Marti turut mengakui berdepan situasi mencabar apabila tidak semua pemain tersedia berikutan saingan liga sedang berjalan dan tiada masa untuk buat persiapan rapi tapi beliau gembira kerana kesemua pemain bebas dari sebarang kecederaan.

Malah pemain yang tidak dapat menyertai pasukan ke Kemboja sebelum ini iaitu Declan Lambert, Harith Haiqal dan Kalamullah Al-Hafiz kini sudah bersama pasukan.

“Ia bukan situasi yang ideal, tetapi kami tetap bersedia dengan motivasi tinggi untuk perlawanan ini.”

Sementara itu, Pau Marti juga berkata beliau akan terus memberi peluang kepada pemain baharu dan muda untuk menunjukkan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

“Saya boleh bagi peluang (debut) tapi mereka perlu tunjukkan mereka bersedia bermain untuk negara.”

Terdahulu pada perlawanan pertama kumpulan menentang Kemboja, skuad negara terpaksa berpuas hati apabila terikat dengan keputusan 2-2.

Please rotate your device