Sebagai kapten, saya akan buat yang terbaik untuk bimbing pemain muda & baharu dalam skuad – Dominic Tan

108

Kapten pasukan kebangsaan Malaysia, Dominic Tan akan mengambil tanggungjawab besar yang diberikan oleh ketua jurulatih Pau Marti untuk membimbing pasukan mengecapi kejayaan pada perlawanan menentang Timor-Leste esok.

Menurut Dominic, ia merupakan satu penghormatan buat dirinya apabila diberi kepercayaan untuk menggalas itu.


“Bagi saya, saya mengambil peranan ini dengan rasa bangga dan penghormatan untuk menjadi kapten pasukan kebangsaan.

Sebagai kapten, saya akan melakukan yang terbaik untuk membimbing pemain muda dan pemain baharu dalam skuad.

Mereka sememangnya layak berada di sini dan kesemua mereka bersemangat untuk menunjukkan kemampuan di atas padang,”

katanya.

Dominic berkata demikian ketika sedang media menjelang aksi kedua Kumpulan A Piala AMEC 2024 menentang Timor-Leste yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.

Tambahnya lagi, beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia dan bersemangat untuk menunjukkan kemampuan mereka di atas padang dan berharap kejayaan akan berpihak kepada mereka.

Dalam pada itu, Dominic yang diminta mengulas mengenai keputusan undian untuk pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 mengakui Vietnam merupakan pencabar yang sukar kerana mereka adalah antara pasukan terbaik di rantau Asia.

“Setiap perlawanan antarabangsa memang sukar dan Vietnam adalah antara pasukan terbaik di Asia dan perlu diberi perhatian. Namun kami akan menghadapi cabaran dengan semangat juang yang tinggi dan akan memberikan yang terbaik untuk negara.

Bagi saya bermain untuk negara sentiasa menjadi satu penghormatan besar. Setiap perlawanan kami ambil dengan serius dan memberikan yang terbaik untuk negara.”

Pada undian yang berlangsung di ibu pejabat AFC semalam, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.

Hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi.